PENYANYI tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa dipilih sebagai selebriti pertama bagi merasmikan Usanita Entertainment (UE), sebuah cabang terbaharu di bawah Usanita Sdn Bhd yang komited memperkasa dan menaik taraf industri kreatif tempatan.
UE berhasrat untuk mewujudkan ekosistem yang mampan dalam industri seni dan budaya dengan menekankan inovasi serta kolaborasi antara penggiat seni tempatan dan antarabangsa.
Pelancaran rasmi UE ini dimulakan dengan episod istimewa ‘talk show’ digital bertajuk Usanita: Unwrapped Kisah Di Sebalik Spotlight Special Edition With Dato Sri Rossa.
Program ini dihoskan oleh Awal Ashaari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Datuk Seri Prof Dr Hasan.

Episod istimewa ini dijangka memberikan perspektif mendalam tentang perjalanan seni Rossa, yang telah menjadi inspirasi kepada ramai peminat di seluruh Nusantara.
Sebaik sahaja selesai rakaman program bual bicara tersebut, acara diteruskan dengan upacara simbolik tanda tangan plak perasmian UE.
Rossa bersama Adzliana secara rasmi menandatangani plak sebagai tanda permulaan perjalanan UE dalam menerokai peluang baharu untuk penggiat seni tempatan dan antarabangsa.
Upacara tersebut menjadi simbolik kepada hala tuju baharu yang akan diterokai oleh Usanita dalam menyokong perkembangan industri kreatif.
Menurut Adzliana, penglibatan Rossa sebagai figura utama pelancaran ini sangat signifikan, memandangkan dia bukan sahaja dihormati sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai ikon yang berperanan besar dalam memupuk hubungan antara penggiat seni dari Malaysia dan Indonesia.
“Kami berbangga dapat memulakan langkah pertama ini dengan Rossa, yang membawa pengalaman dan pengaruh antarabangsa dalam arena kreatif.
“Ini membuka jalan untuk kerjasama yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya kepada URTV.

Sesi pelancaran tersebut bukan sahaja memberi fokus kepada perasmian, malah ia turut disaksikan oleh pelbagai pihak media tempatan yang diberi peluang menyaksikan secara langsung permulaan UE.
Signifikan tanda tangan oleh Rossa pada pelancaran itu adalah kerana Usanita bertindak sebagai rakan penaja untuk Malam Gala Filem Dokumentari All Access To Rossa: 25 Shining Years yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, malam tadi.
Dokumentari itu meraikan perjalanan karier cemerlang Rossa selama 25 tahun, dan dengan penglibatan Usanita sebagai penaja, ia menandakan sokongan kukuh Usanita terhadap seni dan industri kreatif, sekaligus memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua pihak dalam memartabatkan bakat seni di peringkat serantau.

Dengan kepimpinan dan visi Adzliana, Usanita Sdn Bhd yakin mampu memainkan peranan besar dalam mentransformasikan industri seni negara ke tahap yang lebih tinggi.
Selain itu, Usanita juga telah merangka pelbagai aktiviti menarik yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk menyokong perkembangan dan kelestarian industri kreatif tempatan, dengan memberi fokus kepada pembangunan bakat baharu, penstrukturan semula ekosistem industri seni, dan kolaborasi strategik dengan pemain industri dari luar negara.
“Usanita berhasrat untuk memperkenalkan beberapa inisiatif yang melibatkan latihan, peluang kerjaya, serta program sokongan kreatif bagi artis-artis tempatan,” ujarnya.
UE juga akan melibatkan diri secara aktif dalam penerbitan kandungan berkualiti tinggi yang merangkumi pelbagai platform digital, selari dengan perkembangan teknologi masa kini.
Pendekatan ini adalah sebahagian daripada usaha Usanita untuk memastikan karya seni tempatan mendapat pendedahan lebih luas di peringkat global.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

