SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan memiliki lebih 30 buah buku hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam pada bulan lalu.
Tertuduh, Aisyah Bula Tajudin, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita yang disyaki ahli GISB Holdings (GISBH) itu didakwa didapati memiliki 38 buah buku hasil penerbitan larangan, tanpa sebab yang munasabah di sebuah kediaman di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur sekitar jam 11.30 pagi pada 21 September lalu.
Antara buku-buku itu ialah, Darul Arqam 25
Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imarn Ashaari Muhammad At-Tamimi; Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya; dan Siri Terkini Era kasih Sayang — “Abuya Pemimpin Kasih Sayang”.
Justeru tertuduh didakwa mengikut 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan agar jumlah jaminan ke atas tertuduh ditetapkan pada kadar RM15,000 dengan dua orang penjamin.
“Jumlah itu berikutan terdapat 38 penerbitan yang dilarang sebagaimana perwartaan kerajaan, dan juga perkara yang sama tentang pengharaman memiliki penerbitan tersebut yang diwar-warkan di media massa, di dada akhbar mahupun di televisyen.
“Selepas tiga dekad pengharaman tersebut, masih lagi ada individu yang secara sembunyi memiliki bahan terlarang tersebut. Oleh itu atas prinsip keselamatan negara, pihak pendakwaan berhujah bahawa jaminan sebanyak RM15,000 adalah wajar,” ujarnya.
Bagaimanapun peguam Boestamam Ahmad yang mewakili wanita itu memohon agar anak guamnya dibenarkan jaminan yang rendah memandangkan tertuduh hanya seorang suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan lain selain menyifatkan cadangan jaminan oleh pihak pendakwaan terlalu tinggi.
“Suami tertuduh juga sedang terlantar ekoran penyakit strok. Sekiranya jumlah jaminan terlalu tinggi dan tertuduh tidak mampu untuk membayarnya, tiada sesiapa yang boleh menjaga suaminya,” kata peguam itu.
Sementara itu di mahkamah berasingan, seorang usahawan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di hadapan Majistret S Mageswary.
Tertuduh, Mohamad Nazif Jamluddin, 49, didakwa memiliki dua buah buku hasil penerbitan larangan iaitu ‘Perang Teluk Islam akan Kembali Gemilang’ dan ‘Meruntuh Berhala di Tiongkok’ tanpa sebab yang munasabah di sebuah premis di Jalan Penchala Indah 6, Kampung Sungai Penchala, di Brickfields Kuala Lumpur sekitar jam 10.30 pagi pada tarikh yang sama.
Lelaki berkenaan didakwa mengikut seksyen dan akta yang sama yang memperuntukkan hukuman yang serupa, jika sabit kesalahan.
Bagi kes itu, Mohd Sabri Othman turut mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000, namuan Boestamam memohon jaminan yang minima memandangkan anak guamnya itu kini kehilangan punca pendapatan selepas akaun peribadi dan syarikatnya apabila turut disisiat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Tertuduh menanggung seorang isteri dan 11 orang anak yang masih belajar. Tertuduh juga mempunyai penyakit kencing manis yang memerlukan rawatan susulan,” katanya lagi.
Majistret Farah Nabihah dan Majistret Mageswary kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 masing-masing terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagi Aisyah, Majistret Farah Nabihah turut mengarahkan agar warga emas itu melaporkan diri di balai polis berdekatan kediamannya, sebulan sekali sebagai syarat tambahan jaminan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

