DATUK Dr Suzana Idayu Wati Osman menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pengarah Besar Felda baharu menggantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar yang menamatkan perkhidmatannya pada 14 Oktober lalu.
Felda dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan Suzana Idayu Wati itu mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam menggerakkan pembangunan ekonomi negara.
Menurut Felda, langkah tersebut seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa penyertaan wanita dalam semua sektor sebagai pemacu utama ke arah Malaysia yang progresif dan mampan.
Felda memberitahu, Suzana Idayu Wati mempunyai mempunyai pengalaman luas dalam industri perladangan sejak menyertai agensi itu sebagai Pegawai Tadbir pada tahun 1998 sehingga memegang jawatan Ketua Jabatan Pelaburan Felda pada tahun 2008.
“Beliau kemudian menyertai FGV Holdings Berhad (FGV) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan dan beberapa jawatan penting sebelum menjadi Ketua Pegawai Pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Kepimpinan beliau diperkuatkan dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam pelbagai sektor termasuk perbankan, kewangan, pelaburan dan pengurusan aset institusi.
“Beliau menganggotai pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah di lebih 35 entiti dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Perkhidmatan Amiruddin sebagai Pengarah Besar FELDA tamat hari ini
Mengulas lanjut, Felda memaklumkan, Suzana Idayu Wati juga pernah menjadi Pengerusi Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan ahli Lembaga Pengarah Felcra.
Katanya, sumbangan yang dipamerkannya semasa menjadi Pengerusi MSPO menyerlahkan komitmen terhadap industri dan pengurusan lestari.
Felda berkata, komitmen itu penting bagi memastikan Felda memacu agenda kelestarian yang menyokong keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Suzana merupakan ahli Lembaga Pengarah Felda dan syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Felda seperti FGV Holdings; MSM Holdings dan Encorp Berhad.
“Beliau juga memegang peranan sebagai Pengerusi IIUM Holdings Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah di Private Pension Administrator.
“Dengan pelantikan ini, Felda yakin bahawa Suzana akan membawa Felda ke arah pencapaian baharu dan memberi impak positif yang berkekalan kepada 112,638 keluarga peneroka serta generasi masa depan mereka di seluruh negara,” katanya.
Beliau memperoleh Doktor Falsafah dan Sarjana dalam Kewangan dari Universiti Putra Malaysia (UPM); Ijazah dalam Pengajian Perniagaan dari Huddersfield University, United Kingdom (UK) dan Advance Management Program dari Harvard Business School, Amerika Syarikat (AS).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

