MALAYSIA menyatakan kesediaan untuk menganjurkan Mesyuarat Penyelarasan Pertama antara Malaysia dengan Arab Saudi di peringkat Menteri Luar.
Hasrat itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman sebelum kembali ke Kaherah, Mesir, semalam.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, mesyuarat penyelarasan itu bagi membincangkan kerjasama kedua-dua negara dengan lebih lanjut.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut turut menyentuh pelbagai aspek terkait hubungan Malaysia dengan Arab Saudi yang perlu diperluas.
Kata beliau, ia menyentuh soal perdagangan dan pelaburan termasuk kerjasama dalam beberapa bidang baharu antaranya kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau, tenaga bersih serta petrokimia.
“Kami juga sempat bertukar pandangan berkenaan situasi serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
“Kesempatan yang ada juga saya gunakan untuk menjemput Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) di Kuala Lumpur.
Baca artikel lain: Teks ucapan Anwar di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam
“Saya optimis bahawa hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi dapat menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran tersebut.
Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap kepemimpinan Kerajaan Arab Saudi terkait penganjuran Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam termasuk usaha-usaha berterusan dalam membantu saudara Islam yang ditindas.
Anwar tiba di Riyadh, Arab Saudi, semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam.
Kehadiran Perdana Menteri ke sidang kemuncak itu adalah untuk menyuarakan pandangan dan membawa mandat rakyat Malaysia mengenai kekejaman berterusan serta isu kemanusiaan yang berpunca daripada tindakan rejim Zionis Israel di Palestin dan Lebanon.
Anwar dijadualkan kembali ke Kaherah untuk meneruskan lawatan rasmi empat harinya ke Mesir, yang bermula pada Sabtu lepas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

