AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) kesal terhadap sikap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mempertikaikan rombongan Menteri Pendidikan Afghanistan ke Malaysia.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyokong usaha dibuat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam membantu membangunkan pendidikan di negara itu.
“Kami menyokong dan menyeru Menteri Pendidikan memberikan kepakaran dan ilmu demi membangunkan Afghanistan sebagaimana Malaysia pernah beri bantuan sama kepada mana-mana negara yang baru mencapai kemerdekaan, bagi berkongsi kepakaran yang kita ada dengan mereka.
“Kita juga menyambut baik langkah yang sudah diambil oleh Menteri Pendidikan Afghanistan dan Malaysia yang menjalin hubungan kerajsama dalam bidang pendidikan yang kita fikir sebagai sebuah negara kedepan dalam bidang ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ahli Parlimen PN di Parlimen, hari ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam sidang media semalam menuntut penjelasan daripada Fadhlina berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban pada awal bulan ini.
Baca artikel lain: VMS, papan iklan LED DBKL papar status cuaca mulai esok – Dr Zaliha
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini pula menjelaskan program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan itu dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar.
Kunjungan itu, katanya, suatu usaha menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan, di mana kerajaan Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara itu.
Sementara itu, pada sidang media sama, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad pula menyifatkan kenyataan dikeluarkan Guan Eng boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam politik negara.
“Kenyataan Bagan (Guan Eng) inilah yang menimbulkan ketidakharmonian dalam politik negara kita. Kalau timbul isu seperti ini, dia seolah-olah rasa ada benda yang terancam kepada dia.
“Jadi jangan salah faham dan marah kepada orang apabila orang lain pula ada salah faham terhadap mereka dengan kenyataan sebegini.
“Sampai mahu beri amaran, penjelasan, ini satu sikap yang tidak baik walaupun Fadlina bukan daripada kerajaan yang dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

