SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mencuri dua barangan kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam sebuah kereta, bulan lalu.
Tertuduh, Lans Koperal Mohd Alifah Mohd Sapie, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan M S Arunjothy.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki terbabit didakwa telah mencuri masing-masing seutas rantai leher dan rantai tangan milik si mati, Nur Farhana Nisha Syazwan, 26, di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga di tepi Jalan Prima Setapak, dekat Wangsa Maju, Kuala Lumpur sekitar jam 2.40 pagi pada 1 Oktober lalu.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’Asnita Zaina’Larifin tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes berkenaan merupakan kes yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya mahkamah ingin membenarkan jaminan ke atas tertuduh.
Sementara itu, peguam R Lavinia yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah membenarkan jaminan ke atas anak guamnya pada kadar yang minimum menanggung isteri dan lima anaknya.

“Tertuduh menanggung lima anak yang masih bersekolah masing-masing berusia 12, 10, 8, 6 dan 2 tahun. Tertuduh juga penanggung tunggal keluarga termasuk ibu bapa yang telah uzur.
“Sekiranya, jumlah jaminan yang tinggi ditetapkan, tertuduh akan mengalami kesusahan untuk menampung keluarga beliau. Justeru mohon jumlah jaminan yang rendah dan sewajarnya,” ujarnya.
Majistret Arunjothy kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,500 ke atas tertuduh selain menetapkan 22 Januari tahun hadapan bagi sebutan semula kes.
Seramai empat anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia lingkungan antara 28 hingga 35 tahun, ditahan di sekitar Setapak, Kuala Lumpur berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta, pada 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata tangkapan itu susulan satu laporan daripada seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, didapati hilang.
Lelaki itu mendakwa dia cuba mencari rantai rantai, loket dan gelang emas pemberian nenek serta kakaknya, selepas jenazah anaknya itu selesai dikebumikan di Banting, Selangor.
Menurutnya,pihak hospital dan polis memaklumkan bahawa anaknya tidak memakai barang kemas ketika dia ditemukan dalam kenderaan terbabit.
Berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

