AKTOR Beto Kusyairi terus membuktikan kehebatannya dalam dunia seni lakonan apabila tersenarai dalam Top 5 bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).
Pencalonan itu diberikan atas lakonannya yang memukau dalam filem Imaginur, arahan Nik Amir Mustapha.
Imaginur yang telah meraih pujian daripada pengkritik dan penonton, mengetengahkan tema psikologi dan emosi dengan naratif yang kompleks.
Dalam filem ini, Beto memegang watak utama sebagai Zuhal, seorang lelaki yang berdepan dengan cabaran mental dan perjalanan emosi yang penuh liku.

Persembahan Beto di anggap luar biasa kerana mampu membawa ke dalaman emosi yang menghidupkan wataknya dengan penuh kejujuran dan intensiti
Pencalonan ini merupakan pengiktirafan terhadap komitmen Beto dalam memberikan mutu lakonan yang konsisten tinggi sepanjang kariernya.
Beto pernah meraih beberapa anugerah sebelum ini, menjadikan pencalonan di FFM33 ini satu lagi bukti kredibilitinya sebagai salah seorang pelakon terbaik Malaysia.
Mengulas mengenai pencalonannya, Beto berkata, ia adalah hasil kerja keras semua pihak dalam menjayakan filem Imaginur.
“Pencalonan ini bukan hanya untuk diri saya sahaja, tetapi untuk semua yang sudah berusaha keras dan memberikan komitmen yang luar biasa dalam setiap langkah produksi.
“Ia adalah pengiktirafan terhadap kerjasama dan semangat perjuangan yang telah kami tunjukkan.
“Pencalonan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan, tetapi juga penyuntik semangat bagi diri sendiri dan seluruh pasukan. Ia memberi saya motivasi untuk terus berkarya dan mencari jalan untuk mencipta karya-karya yang bukan sahaja berkualiti, tetapi juga memberi impak kepada penonton,” katanya kepada URTV.
Menurut Beto, dia berharap filem itu dapat membangkitkan minat dan perasaan baharu dalam kalangan peminat filem.
“Saya percaya, bahawa semangat kerjasama dan sokongan yang kami bangunkan bersama-sama akan terus memberikan hasil yang luar biasa di masa hadapan dan seterusnya mewujudkan lebih banyak cerita-cerita menarik yang dapat dinikmaTI oleh semua,” ujarnya.
Sementara itu, pelakon serba boleh Diana Danielle mencipta sejarah peribadinya apabila berjaya tersenarai dalam Top 5 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada FFM33.
Pencalonan ini adalah hasil persembahannya yang penuh emosi dan berkesan juga menerusi filem Imaginur.
Dalam Imaginur, Diana membawa watak Nur, seorang wanita misteri yang menjadi simbol kekuatan, kasih sayang, dan keteguhan dalam perjalanan emosi watak utama filem ini.
Lakonannya yang tulus dan mendalam telah menerima pujian meluas daripada pengkritik serta meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Pencalonan ini mengukuhkan lagi reputasi Diana sebagai salah seorang pelakon wanita paling berbakat di Malaysia. Sebelum ini, Diana mencipta pelbagai pencapaian dalam dunia seni, dan kini menerusi FFM33, Diana menunjukkan kesungguhannya untuk terus menghasilkan karya seni berkualiti tinggi.
Diana berkata, filem Imaginur sebuah projek yang sangat bermakna bagi dirinya yang tidak hanya menawarkan hiburan, tetapi juga mendalam emosi dan mesej.
“Saya amat berbesar hati dengan pencalonan ini. Filem Imaginur adalah projek yang sangat bermakna bagi saya, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan produksi, pengarah, serta rakan pelakon yang menjadikan pengalaman ini begitu istimewa.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan padu.
“Tanpa sokongan dan cinta anda semua, usaha kami dalam menyalurkan cerita yang penting melalui Imaginur tidak akan bermakna.
“Setiap kata-kata daripada anda memberikan saya semangat yang tidak terhingga untuk terus berkarya dan memberi yang terbaik dalam setiap projek yang saya ceburi.
“Keberadaan anda dalam perjalanan ini menjadikan segala-galanya lebih bermakna. Terima kasih sekali lagi,” katanya.
FFM33 bakal diadakan pada 7 Disember ini menjanjikan saingan sengit, dengan ramai bakat hebat yang turut dicalonkan.
Selain pencalonan Beto dan Diana untuk kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Imaginur turut meraih beberapa pencalonan dalam kategori lain, menonjolkan kekuatan keseluruhan filem ini dalam industri perfileman negara.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

