SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan itu selepas Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura susulan Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada tahun 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
Perkara itu antara yang disyorkan RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
RCI menyatakan siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Baca artikel lain: UMNO Sabah nafi dalang sebar dakwaan rasuah ADUN
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.
Penubuhan RCI berkenaan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 14 Februari lalu selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Seri Paduka juga memperkenankan pelantikan tujuh ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.
Lima lagi ahli RCI itu ialah pengamal undang-undang, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu; bekas Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Prof Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin; pakar undang-undang Perlembagaan dan undang-undang pentadbiran, Prof Datin Dr Faridah Jalil.
Selain itu, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia Dickson Dollah, manakala Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zamri Misman sebagai Setiausaha RCI dan BHEUU JPM sebagai urus setia.
Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.
Anwar pada Disember 2023 turut meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh, meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

