BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa anak-anaknya memiliki aset berjumlah RM1.2 bilion.
Dalam hantaran terbaharu di Facebook, Dr Mahathir menegaskan angka RM1.2 bilion itu tidak benar.
Malah, kata beliau, angka RM1.2 bilion yang disebut Anwar itu juga tidak sama dengan aset sebenar dimiliki dua anaknya iaitu Mirzan dan Mokhzani.
Menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjelaskan bahawa harta kekayaan berjumlah RM120 juta milik Mirzan dan RM316 juta dimiliki Mokhzani.
“Jika dijumlah kedua-dua aset mereka ialah RM436 juta. Dari mana datang angka RM1.2 bilion yang disebut berkali-kali oleh Anwar?
“Kononnya mereka termasuk dalam kalangan maha jaya yang disindir mendapat kekayaan kerana sakau duit kerajaan.
“Apa bukti yang mereka telah sakau duit kerajaan. Kenyataan SPRM tidak menyebut perkara ini,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau telah pun memfailkan saman fitnah terhadap Anwar yang tidak menunjukkan bukti bahawa dirinya telah ‘menyakau’ wang kerajaan.
Bagaimanapun, kata beliau, Anwar masih mengulangi sindiran bahawa dirinya antara pemimpin tinggi yang menyeleweng berbillion ringgit dana kerajaan dan menggesa beliau menggunakan kekayaannya untuk membantu golongan Melayu miskin.
Baca artikel lain: ‘Yang jelas apabila dia buka mulut dia bohong’, Dr Mahathir sindir Anwar
“Mungkin Anwar tahu di mana duit berbilion ini ada. Saya tidak tahu. Anwar boleh bagi maklumat di mana berada duit yang saya sakau ini dan saya akan beri semua 100 peratus kepada orang miskin.
“Ini ikrar saya dan saya sanggup jamin yang saya akan tunai janji saya. Jika tidak, Anwar bila buka mulut, bohong,” katanya.
Sabtu lalu, Dr Mahathir menyifatkan Anwar berbohong apabila mengatakan kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana pemimpin luar yang mengadakan lawatan ke negara ini untuk bertemu dengannya.
Beliau turut mengecam tindakan Anwar yang mengulangi dakwaan berhubung harta yang dimiliki anak-anaknya.
Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana pemimpin luar yang mengadakan lawatan ke negara ini untuk bertemu Dr Mahathir.
Menurut Anwar, dakwaan yang dibuat Dr Mahathir itu tidak seharusnya dijadikan isu.
“Jangan dilayan, hari-hari dia buat dakwaan, (kata) dia mana ada duit, (tapi) anak dia RM1 bilion lebih, bukan pertuduhan, itu pengakuan dan saya tak tahu pula dia cari (duit tapi) tak jumpa bawah televisyen,” katanya.
Dr Mahathir menerusi temubual dalam sebuah rancangan podcast mendakwa kerajaan pimpinan Anwar menghalang beberapa pemimpin asing daripada berjumpa dengannya.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa pemimpin disekat itu adalah rakan beliau sendiri.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

