8,909 pemohon berjaya ditawarkan ke MRSM tahun ini

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SERAMAI 8,909 pemohon berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke 57 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara bagi kemasukan sesi 2025.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam sidang media hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, seramai 93,635 calon telah pun menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) bagi tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, kata beliau, sebanyak 7,229 tempat telah disediakan bagi pelajar Tingkatan Satu manakala 1,680 untuk kemasukan ke Tingkatan Empat.

Untuk tahun ini, Asyraf Wajdi berkata, Mara masih mengekalkan dasar inklusif iaitu 60 peratus keutamaan daripada keluarga berpendapatan rendah B40 termasuk pelajar miskin dan luar bandar.

“Kriteria pemilihan telah ditetapkan oleh Mara dengan semua pemohon diwajibkan melalui peperiksaan UKKM dan mesti memenuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan.

“Walaupun calon B40, mereka perlu juga lulus UKKM.

“Cuma daripada 93,635 pemohon ini, jumlah calon layak secara minimum adalah 21,994 orang atau 35.91 peratus. Calon mencapai merit tinggi iaitu tahap A bagi semua mata pelajaran teras khususnya Matematik dan Sains sebanyak 10.34 peratus daripada jumlah calon (memohon).

“Calon pelajar yang menunjukkan pencapaian yang baik bagi subjek Bahasa Melayu seramai 51,520 orang iaitu 84.08 peratus, Matematik pula 31,768 orang atau 51.4 peratus dan subjek Sains 42,558 orang atau 69.45 peratus.

“Secara umumnya, pencapaian mata pelajaran Matematik meningkat dengan baik, hanya Sains saja yang sedikit jatuh,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi memaklumkan, semakan tawraan itu dibuka mulai pukul 12 tengah hari ini secara dalam talian dan makluman juga dihantar kepada pemohon yang berjaya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang didaftarkan sewaktu permohonan dibuat.

Baca artikel lain: Semakan tawaran kemasukan ke MRSM diumum Isnin depan

Kata beliau, pemohon yang berjaya diminta untuk membuat pengesahan terima atau tolak tawaran kemasukan ke MRSM dalam tempoh tujuh hari.

Asyraf Wajdi memberitahu, terdapat empat tarikh jadual semakan iaitu pada hari ini; semakan kedua pada 27 Januari; semakan ketiga (3 Mac) dan semakan keempat pada 17 Mac.

“Ini proses biasa, iaitu selepas semakan pertama. Bagi mereka yang menolak tawaran atas pelbagai faktor, maka kita akan buat tawaran kedua yang akan dipaparkan pada 27 Januari dan berikutnya pada 3 Mac serta akhir sekali 17 Mac.

“Calon yang tidak menerima tawaran sehingga 11 April membawa maksud bahawa status permohonan mereka tidak berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap tiada calon yang telah berjaya ditawarkan kemasukan ke MRSM menolak tawaran tersebut atas faktor kekangan kewangan.

“Saya amat berharap jangan tolak tawaran (kemasukan). Hubungi pihak MRSM berkenaan.

“Kita telah pun mengarahkan kepada semua MRSM agar memastikan pelajar yang kita tawarkan ini kalau ada yang ada masalah kewangan, terima mereka dahulu dan kita akan mencari jalan untuk membantu mereka.

“Saya tak mahu sesiapa pun dalam kalangan mereka yang tidak berkemampuan dan luar bandar terkandas atau tidak dapat masuk ke MRSM kerana faktor kemiskinan dan bebanan kos,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

RUU Persaingan (Pindaan) 2026 dibaca buat kali kedua di Parlimen

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali hari ini telah membentangkan Bacaan Kali Kedua...

More Articles Like This