PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat tidak mempunyai pemimpin yang berkelayakan untuk menjadi Perdana Menteri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Najwan Halimi.
Kenyataan Mohd Najwan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai calon Perdana Menteri yang layak dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut Mohd Najwan, Wan Ahmad Fayhsal perlu mengakui bahawa Bersatu merupakan parti paling lemah dalam PN.
Hal itu kata beliau kerana Bersatu tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi berbanding parti-parti gergasi yang lain.
“Bukti nyata adalah beliau sendiri yang terpaksa menumpang di kubu kuat Pas iaitu Parlimen Machang dan mengharapkan belas sokongan penyokong Pas untuk menjadi Ahli Parlimen.
“Sehingga hari ini, Bersatu masih dianggap parti yang lemah dalam PN. Maka, tidak hairanlah Wan Ahmad Fayhsal kelihatan terlalu terdesak menjawab kenyataan Mursyidul Am Pas dan mengemukakan nama-nama calon perdana menteri dalam kalangan pimpinan Bersatu sekadar untuk dilihat relevan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan berkata, parti-parti komponen PN harus berbincang tentang siapa yang harus menjadi calon perdana menteri mereka, dengan menegaskan perkara itu perlu dilakukan secara dalaman.
Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal itu selepas Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mencadangkan agar parti Islam itu memimpin gabungan pembangkang, dengan mengambil kira kekuatan politiknya berbanding Bersatu.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata, ahli Parlimen Bersatu juga dilihat gagal berfungsi sebagai pembangkang yang ekeftif dan progresif.
Hal itu menurut beliau dapat dilihat apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
“Barangkali beliau (Muhyiddin) tidak berani berdepan dengan sosok Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Adalah lebih baik Wan Ahmad Fayhsal menasihatkan pimpinan Bersatu supaya memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa dan tidak hanya menjaja retorik dan memainkan sentimen perkauman di Parlimen.
“Beliau perlu akui, setakat hari ini Bersatu tiada pemimpin yang memiliki kredibiliti untuk diketengahkan sebagai calon perdana menteri,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

