MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas bagi segera memulihkan kedaulatan makanan negara terutama industri padi beras negara.
Pengerusi MTEM, Norysharin Hamidon berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pemain industri yang terkepung oleh kemungkaran serta ketiadaan tempat untuk mengadu.
Menurut Norysharin, kepercayaan kepada pihak yang telah diberi amanah untuk menjaga kebajikan pesawah dan mempertahankan lebih 645,000 hektar tanah bendang di seluruh negara juga semakin terhakis.
Di atas hilangnya keyakinan tersebut di samping ketidakupayaan membendung kemungkaran atau bertindak lebih adil, beliau berkata, MTEM percaya IPB dan Bernas selaku pemegang amanah industri telah gagal melaksanakan fungsi-fungsi mereka.
Justeru, Norysharin berkata, MTEM amat kecewa dengan kemelut tidak berkesudahan yang sedang melanda industri padi beras negara yang merupakan tulang belakang kepada kelestarian dan kedaulatan makanan buat lebih 33 juta rakyat Malaysia.
“Semenjak penubuhannya lagi pada tahun 2012, MTEM telah cuba menyampaikan harapan pertubuhan-pertubuhan induk mewakili pesawah, pengilang dan pemborong beras Melayu kepada kerajaan.
“Malangnya sehingga hari ini tiada sebarang perubahan sistemik mahupun struktural yang berupaya mengurangkan kebergantungan negara kepada beras asing; belum mampu meningkatkan taraf hidup 200,000 pesawah atau berjaya meneruskan kelangsungan pengilang Melayu yang hampir pupus.
“Walaupun kerajaan telah beberapa kali bertukar tangan, masalah sama tetap dilaungkan dan kemudiannya cuba dipendamkan iaitu kegiatan monopoli oleh pengilang besar dan orang tengah; ketirisan dalam pengagihan bantuan dan subsidi serta amalan rasuah dan ketidakcekapan oleh pihak pengurusan dan kawal selia padi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: KPKM pertimbang cadangan harga lantai padi RM1,500 per tan metrik
Mengulas lanjut, Norysharin berpandangan, fungsi dan peranan asal Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) boleh dikembalikan bersandarkan kepada kejayaan terdahulu mereka.
Namun begitu, katanya, MTEM menyerahkan kepada kebijaksanaan suruhanjaya tersebut untuk membuat keputusan terbaik berlandaskan musyawarah.
Beliau menegaskan, suruhanjaya bebas itu mesti dianggotai pemegang taruh yang mewakili pelbagai kepentingan khususnya daripada kalangan pesawah, pengilang kecil dan pengilang Melayu, pemborong, pakar industri dalam kalangan akademik dan teknologis, agensi-agensi berkaitan serta tokoh-tokoh yang tiada kepentingan.
Norysharin berkata, suruhanjaya itu dicadangkan perlu menangani segera persoalan termasuk peningkatan kos penghasilan padi yang amat ketara dan tidak seimbang dengan pendapatan pesawah yang masih di bawah paras kemiskinan tegar.
Selain itu, jelasnya, cadangan harga beras baharu bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi memandangkan harga kawalan beras tempatan pada RM2.60 per kilogram (kg) sejak 2014 yang tidak munasabah.
MTEM turut menggesa agar agensi sokongan padiberas termasuk pertubuhan peladang kawasan tidak lagi disalahguna atau bersekongkol menekan pesawah menurunkan harga belian di kilang konon bertujuan menyelesaikan polemik ketiadaan beras tempatan atau memaksa pesawah kecil melepaskan hak mereka demi menguasai bendang berskala besar.
“Program Smart SBB dengan matlamat membantu mencapai SSL 80 peratus menjelang tahun 2030 adalah inisiatif yang baik asalkan tidak membunuh pengusaha kecil sebaliknya menambah keupayaan mereka.
“Sasaran program kawasan bertanam seluas 150,000 hektar dan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh metrik tan per hektar adalah inisiatif bagus tetapi kurang menyeluruh kerana mengetepikan kilang-kilang padi Melayu yang merupakan nadi penting kepada kelestarian komuniti pesawah khususnya di jelapang.
“Justeru, MTEM mendesak suruhanjaya untuk mengembalikan penglibatan pengilang beras bumiputera dengan mewujudkan kuota belian padi di setiap kilang.
“Usaha mengekang monopoli dan sabotaj oleh kilang besar di samping menjamin pengeluaran benih berkualiti dan mencukupi mesti dipercepatkan. Begitu juga ikhtiar menggunakan beras tempatan sebagai beras stokpail negara demi mengurangkan kadar import beras,” katanya.
Sekiranya tidak bertindak segera, Norysharin berkata, MTEM khuatir Malaysia bakal berdepan krisis keterjaminan makana yang parah menjelang tahun 2030.
“Bahkan tidak keterlaluan untuk membayangkan kemungkinan negara berdepan bantahan besar-besaran oleh rakyat sebagaimana yang terjadi di Perancis, Rusia dan China suatu ketika dahulu kesan daripada runtuhnya ekosistem keterjaminan makanan.
“MTEM yakin kepimpinan Perdana Menteri berada pada kedudukan terbaik untuk merombak institusi padiberas negara agar lebih telus, bersih, berkebajikan dan tidak akan sesekali membiarkan kedaulatan makanan negara diancam oleh pihak yang hanya mementingkan kebajikan perut mereka sendiri,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

