KERAJAAN menambah stok simpanan beras negara kepada 300,000 tan metrik sebagai persediaan awal melihat kepada situasi semasa berkaitan krisis tenaga global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu bertujuan memastikan bekalan beras negara kekal mencukupi dan terjamin.
Katanya, kerajaan sentiasa memantau keadaan dan terus bekerja untuk memastikan keperluan asas semua terjaga dengan baik.
“Melihat situasi semasa berkaitan krisis tenaga global, kerajaan terus mengambil langkah yang tenang dan terancang dengan menambah stok simpanan beras negara kepada 300,000 tan metrik sebagai persediaan awal.
“Dalam masa yang sama, Bang Mat nak ajak semua rakyat untuk terus berjimat cermat dan elakkan pembaziran,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad menambah, segala usaha itu adalah demi memastikan keterjaminan makanan negara sentiasa kukuh dan setiap rakyat terus menikmati bekalan yang mencukupi dan terjamin.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

