Ismanira trauma, tak lalu makan dan minum selepas Zayn Rayyan hilang – saksi ke-9

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini diberitahu bahawa ibu kepada kanak-kanak autistik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dilihat trauma ketika menerima lawatan dari pihak sekolah pada 6 Disember 2023, selepas anak sulungnya itu hilang di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kata saksi pendakwaan kesembilan.

Perkara itu diberitahu oleh saksi yang merupakan guru kelas Zayn Rayyan di sebuah prasekolah pendidikan khas di Damansara Damai, Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz pada perbicaraan hari kelima kes itu di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Ketika memberikan keterangan, guru itu memberitahu dia bersama-sama guru besar dan dua lagi penolong kanan sekolah, membuat lawatan ke rumah ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf bagi memberikan sokongan dan semangat kepada keluarga, sehari selepas kanak-kanak itu hilang.

Menurutnya sewaktu lawatan itu, Ismanira kelihatan seperti sedang mengalami trauma dengan peristiwa kehilangan anak kandungnya, sehingga perlu ditenangkan oleh ibu mentuanya ekoran tidak makan dan minum.

“Sewaktu saya di rumah tersebut, turut serta bersama Ismanira ketika itu ialah nenek kepada Zayn Rayyan. Waktu itu, nenek Zayn Rayyan cuba menenangkan Ismanira sebab dia macam trauma. Nenek Zayn Rayyan tenangkan Isma sebab dia tak nak makan, tak nak minum,” ujarnya.

Siti Aminah yang bertugas sebagai seorang guru sejak 2010 itu turut menambah, ketika lawatan bersama pihak sekolah itu, dia juga mendengar Ismanira seperti menjerit ‘Zayn, ini salah mummy’ .

“Saya juga dengar Ismanira macam menjerit cakap ‘Zayn, ini salah mummy’. Saya dengan guru besar agak terkejut tetapi saya anggap mungkin sebab dia terlalu sedih,” ujarnya lagi.

Terdahulu ketika prosiding, saksi yang turut bertugas sebagai guru pendidikan khas di prasekolah tersebut sejak tahun 2017 itu memberitahu ketika waktu persekolahan tamat pada 5 Disember 2023, Siti Aminah memimpin tangan Zayn Rayyan buat kali terakhir ketika menuju ke pagar sekolah untuk dihantar kepada ibunya sekitar jam 12 tengah hari.

“Tapi hari itu, ibu Zayn Rayyan datang agak lewat dari biasa, dalam pukul 12.05 tengah hari. Kemudian ibu dia datang dengan menaiki motosikal. Ketika itu saya ada bersama-sama pembantu saya ketika ibunya sampai.

“Selepas itu, saya lihat sendiri Zayn naik motor bersama ibunya dan berlalu pergi. Sebelum itu saya sempat menegur Zayn Rayyan sebab itu kali pertama saya nampak dia naik motor sendiri tanpa bantuan sesiapa.

“Saya masih ingat pembantu saya menegur dan bertanya kepada ibunya, ‘puan beli helmet di mana?,’ sebab topi keledar Zayn kelihatan menarik,” ujarnya lagi.

Saksi itu turut memberitahu dia hanya mengetahui berkenaan kehilangan Zayn Rayyan selepas pulang ke rumah sekitar jam 4 petang, 5 Disember 2023 menerusi Kumpulan WhatsApp ibu bapa murid-murid kelasnya.

Bagaimanapun, dia menganggap kejadian itu sebagai tidak serius dan Zayn hanya hilang buat seketika waktu sahaja sehingga dimaklumkan bahawa kanak-kanak itu masih gagal dikesan pada malam tarikh yang sama.

Dalam pada itu, Siti Aminah yang juga lepasan Ijazah Sarjana Pendidikan Khas di Universti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyifatkan Zayn Rayyan sebagai seorang kanak-kanak yang pasif, dan boleh mendengar serta mengikuti arahan yang mudah seperti ‘Zayn, pergi pakai kasut’ atau ‘Zayn, ambil beg untuk pulang,’ selain tidak pernah menyakiti rakan sekelasnya.

Aqharie: Sebentar tadi cikgu kata Zayn autisme pasif tak aktif, maksudnya?

Siti Aminah: Sepanjang Zayn bersekolah, dia tak menunjukkan perangai aktif seperti lari atau pun mengetuk dinding seperti murid autisme lain, atau Zayn tak sakitkan kawan macam pukul atau gigit kawan lain. Dalam kelas, Zayn akan duduk di satu sudut dengan diam sehingga saya memberi arahan.

Kalau Zayn nak kan sesuatu pun, dia akan tarik tangan saya nak pergi ke tempat itu. Contohnya dia nak makan, dia takkan terus ambil makanan itu. Tapi dia akan pegang tangan saya dan bawa kepada makanan itu.

Aqharie: Cikgu nyatakan Zayn akan duduk diam di satu sudut, adakah bersama sesiapa waktu itu?

Siti Aminah: Zayn seperti ada dunia dia sendiri, dia duduk di satu sudut dan buat aktiviti sendiri, jika ada orang lain atau murid lain ajak dia bermain baru dia akan bermain. Jika tidak dia hanya akan duduk di satu sudut dan melakukan aktiviti sendiri.

Aqharie: Sudut yang cikgu maksudkan di mana dan maksud dunia sendiri?

Siti Aminah: Sudut di dalam kelas. Kebanyakan budak autisme memang akan berkelakuan sebegitu. Mereka ada imaginasi sendiri yang kita sendiri pun tak tahu apa yang dia fikir.

Aqharie: Cikgu nyatakan kalau dia nak sesuatu dia akan tarik tangan ke kawasan itu, boleh cikgu terangkan Zayn akan tarik tangan cikgu?

Siti Aminah: Dia seolah-olah minta izin untuk buat sesuatu perkara.

Sementara itu ketika pemeriksaan balas, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira dan Zaim Ikhwan Zahari mencadangkan bahawa, Ismanira tidak pernah gagal menyediakan bekal makanan kepada Zayn Rayyan untuk dimakan ketika waktu rehat di sekolah setiap hari, yang mana saksi itu menjawab, “ya,”.

Haresh: Pernah juga terdapat hari di mana arwah Zayn Rayyan tidak ingin makan, contohnya ayam goreng, dan sekolah akan hubungi ibu dia dan ibunya akan bekalkan makanan lain ke sekolah, betul?

Siti Aminah: Betul.

Haresh: Itu tahap keprihatinan ibu Zayn Rayyan terhadap arwah, betul?

Siti Aminah: Ya

Haresh: Dia (Ismanira) juga ambil berat keselamatan arwah Zayn Rayyan ketika menaiki motor dengan melengkapkan Zayn dengan topi keledar, betul?

Siti Aminah: Ya

Haresh: Setuju atau tidak, kalau saya cadangkan bahawa setiap hari dia (Zayn Rayyan) datang ke sekolah lengkap dengan pakaian, bekal serta arwah seronok ke sekolah?

Siti Aminah: Betul, setuju.

Haresh: Tak pernah sekali pun nampak dia (Zayn Rayyan) seolah-olah diabaikan, betul?

Siti Aminah: Betul.

Prosiding perbicaraan ini akan bersambung pada jam 2.45 petang ini.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di Jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya, pada jam 12 tengah hari, pada 5 Disember 2023 hingga keesokannnya pada jam 9.55 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO berhak tentukan hala tuju sendiri menjelang pilihan raya – Asyraf Wajdi

UMNO menegaskan parti itu mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian dan hala tuju politiknya sendiri menjelang mana-mana pilihan raya,...

More Articles Like This