SUSPEK kes bunuh seorang peniaga makanan wanita, Norshamira Zainal yang ditemukan tidak bernyawa di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan, Khamis lalu direman selama tujuh hari.
Tempoh reman sehingga 21 Februari itu telah dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria terhadap suspek lelaki berusia 53 tahun itu.
Suspek yang memakai kemeja-T dan berkain pelekat ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Lelaki tersebut diiringi polis keluar dari lokap kira-kira pukul 2.30 petang selepas perintah reman dikeluarkan.
Terdahulu, suspek telah berjaya ditahan polis pada pukul 5.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan, suspek telah ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu.
“Suspek telah ditahan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang dan Terengganu.
“Turut dirampas bersama suspek adalah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan,” katanya.
Baca artikel lain: Suspek bunuh peniaga makanan wanita diberkas di Kuala Terengganu
Sebelum ini media melaporkan mayat seorang peniaga makanan wanita tempatan Norshamira Zainal, 37, ditemukan pada 13 Februari di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memberitahu, terdapat kesan kecederaan di badan mangsa dan siasatan mendapati barang kemas wanita itu juga hilang.
Kejadian malang menimpa ibu kepada seorang anak lelaki itu turut mendapat perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu suspek terlibat diberkas segera dan hukuman setimpal dikenakan jika disabitkan kesalahan membunuh.
Al-Sultan Abdullah bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berkenan melawat keluarga mangsa di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) semalam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

