Isma hanya galas beg sekolah, tak pegang apa-apa di tangan pada hari Zayn Rayyan hilang, kata saksi

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

SAKSI Pendakwaan ke-16 bagi kes pengabaian kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini bahawa ibu kanak-kanak itu tidak membawa barangan di tangan ketika terserempak dengannya dua kali di tangga Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, pada hari Zayn dilaporkan hilang.

Menurut suri rumah, Rashidah Rajali, 37, yang merupakan penduduk blok berkenaan, dia berselisih dengan ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 30, sebanyak dua kali iaitu ketika menghantar anak sulungnya ke sekolah kira-kira jam 12.15 tengah hari, dan ketika dia pulang ke apartmen tersebut selepas mengambil dua lagi anaknya dari sekolah sekitar jam 12.35 tengah hari, 5 Disember 2023.

Saksi itu yang tinggal di aras sama dengan unit kediaman keluarga Zayn Rayyan di tingkat dua blok itu memberitahu demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada perbicaraan hari ketujuh bagi kes itu di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

“Sekitar jam 12.15 tengah hari (5 Disember 2023), saya melalukan rutin seperti biasa menghantar anak pertama saya ke sekolah. Selepas itu saya terserempak dengan ibu Zayn Rayyan ketika saya dari tingkat satu di tangga. Ketika itu, ibu Zayn Rayyan mahu naik ke atas dari aras paling bawah. Dia berhenti untuk beri saya laluan untuk saya turun tangga, kemudian dia naik.

“Kemudian dalam pukul 12.35 saya pulang dari sekolah anak, dan nampak ibu Zayn Rayyan turun dari aras satu ke bawah. Saya dari aras paling bawah, nak naik ke atas. Kemudian saya terus naik ke rumah. Lebih kurang jam 12.45 tengah hari, saya menerima panggilan daripada suami. Saya dapat tahu daripada suami yang Zayn Rayyan hilang,” ujarnya.

Raja Zaizul Faridah: Ketika berselisih dan Ismanira berhenti untuk beri laluan pada 12.15 tengah hari, dia ada bawa apa-apa ketika itu?

Rashidah: Ketika itu saya perasan dia menggalas beg sekolah warna biru dan merah, serta pakai beg silang.

Raja Zaizul Faridah: Selain beg galas dia bawa apa-apa lagi?


Rashidah: Tiada. Saya cuma nampak beg sahaja.

Raja Zaizul Faridah: Pada pukul 12.35 ada puan nampak dia bawa apa-apa?

Rashidah: Tak nampak. Beg sekolah tadi tiada.

Malahan Rashidah turut memberitahu mahkamah bahawa pakaian yang dipakai oleh Ismanira ketika berselisih dengannya pada kali pertama, berbeza dengan pakaian yang dipakai ketika sekali lagi mereka terserempak, kira-kira 20 minit kemudian.

Raja Zaizul Faridah: Ketika puan jumpa dengan dia pada jam 12.15 tengah hari, puan ingat pakaian dia (Ismanira)?

Rashidah: Saya ingat, dia pakai tudung bercorak warna hitam, baju putih dan kain atau seluar besar warna hitam.

Raja Zaizul Faridah: Adakah pakaian yang dipakai Ismanira ketika 12.15 tengah hari, sama dengan ketika 12.35.

Rashidah: Tak sama, lain. Saya tak ingat secara keseluruhan. Tapi dia pakai tudung bercorak yang berwarna sedikit gelap.

Ketika disoal oleh Raja Zaizul Faridah bagaimana reaksi Ismanira ketika berselisih pada jam 12.35 petang, saksi itu menjawab “tiada apa-apa reaksi”.

Selain itu, saksi sama turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak pernah nampak Zayn Rayyan bermain di taman permainan berdekatan Blok R ketika kebiasaannya melakukan rutin harian menghantar dan mengambil tiga anaknya dari sekolah, sepanjang tinggal di blok terbabit.

Sebelum ini, ketika prosiding perbicaraan hari ketiga kes itu pada 5 Februari lalu, saksi pendakwaan keempat Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, memberitahu mahkamah bahawa Ismanira ada memaklumkan kepadanya bahawa dia memegang barangan yang baru dibeli di kedua-dua belah tangannya ketika menyedari Zayn Rayyan hilang.

Menurut beliau, Ismanira memaklumkan kepadanya demikian ketika merakam percakapan wanita tersebut bagi membantu siasatan kes kehilangan Zayn Rayyan, pada petang 5 Disember 2023.

Pada 13 Jun 2024, bapa kanak-kanak terbabit, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya, pada jam 12 tengah hari, pada 5 Disember 2023 hingga keesokannnya pada jam 9.55 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

DAP tidak pernah, tidak akan ada dalam kerajaan Johor BN – Onn Hafiz

"DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam kerajaan Johor pimpinan Barisan Nasional (BN)." Demikian jaminan Pengerusi BN Johor, Datuk...

More Articles Like This