PENGAGIHAN dividen pada kadar 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tahun 2024 membuktikan bahawa pelan strategik pelaburan KWSP membuahkan hasil positif.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, kadar 6.3 peratus yang telah diumumkan KWSP itu merupakan angka yang cukup signifikan dan amat memberangsangkan.
Menurut beliau, pelan strategik pelaburan KWSP telah dilaksanakan dengan baik dan mula mendatangkan keuntungan.
“Saya melihat pengumuman berhubung dividen KWSP pada kadar 6.3 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah itu amat memberangsangkan.
“Ini juga merupakan kali pertama dividen bagi Simpanan Shariah setara dengan Simpanan Konvensional sekali gus menunjukkan Simpanan Shariah tetap memberi pulangan yang baik,” katanya kepada UtusanTV hari ini.
Sementara itu, Baharom menyifatkan sekarang merupakan waktu terbaik bagi semua ahli dan pencarum KWSP beragama Islam untuk menunaikan tanggungjawab menukar kepada Simpanan Shariah.
Beliau berkata, Simpanan Shariah sememangnya lebih lestari dan stabil walaupun banyak kajian menunjukkan selalunya kadar dividen untuk simpanan Islamik lebih rendah.
“Saya berharap pencarum beragama Islam menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk bertukar kepada Simpanan Shariah.
“Walaupun kadar dividen tahun 2024 ini lebih tinggi tetapi malang apabila kita lihat kepada agihan keuntungan itu menunjukkan bahawa masih ramai pencarum Sslam yg masih belum bertukar kepada Simpanan Shariah,” katanya.
Baca artikel lain: Dividen kukuh bukti daya tahan KWSP – Amir Hamzah
Terdahulu, KWSP mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah untuk tahun 2024, menjadikan kadar tertinggi sejak tahun 2017.
Sebagai rekod, kadar dividen bagi tahun 2023 untuk Simpanan Konvensional adalah 5.50 peratus manakala 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah.
Dividen bagi 2022 sebanyak 5.35 peratus bagi simpanan Konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan Shariah.
Dividen paling tinggi pernah diagihkan KWSP adalah 8.5 peratus iaitu dari 1983 hingga 1987.
Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan selesai esok, 2 Mac 2025 dengan ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional adalah sebanyak RM63.05 bilion manakala RM10.19 bilion untuk Simpanan Shariah menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.23 bilion.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

