DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob akan dipanggil semula bagi memberi keterangan tambahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rabu ini berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, rakaman percakapan tambahan itu akan berkisar tentang pengisytiharan harta yang telah dilakukan Ismail Sabri sebelum ini.
Bagaimanapun, kata beliau, sesi merakam keterangan itu bergantung kepada tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera tersebut.
“Ekoran daripada penemuan wang tunai sebelum ini, SPRM akan mengambil rakaman percakapan semula atau tambahan Ismail Sabri bergantung kepada tahap kesihatan beliau.
“Kita jangka rakaman percakapan ini akan dibuat pada Rabu ini.
“Rakaman akan berkisar daripada pengisytiharan harta beliau dan juga berhubung kes yang sedang disiasat sekarang ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Sementara itu, Azam menafikan pihaknya menjalankan siasatan terpilih dan bermotifkan politik.
Baca artikel lain: Ismail Sabri jadi suspek kes rasuah dan penggubahan wang haram – SPRM
Menurutnya, kertas siasatan kes melibatkan Ismail Sabri itu telah pun dibuka sejak tahun lalu dengan setakat ini seramai 31 saksi telah pun dipanggil untuk dirakam percakapan.
Beliau menegaskan, siasatan yang dilakukan SPRM itu adalah profesional dan bukan atas arahan mana-mana pihak.
“Saya tanya anda semula (wartawan), adakah anda rasa siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri ini bermotif politik?
“Saya tidak rasa begitu. Saya kekal dengan prinsip menyiasat dengan profesional dan telus tanpa mengambil kira sebarang darjat atau kedudukan.
“Tiada arahan daripada mana-mana pihak. Kita buat siasatan berdasarkan maklumat dan laporan yang kita terima,” jelasnya.
Pada sidang media hari ini, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM semalam mendedahkan bahawa wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis, termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
SPRM berkata, wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

