SEORANG pengantar barang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak asuhan isterinya, di sebuah hotel pada Isnin lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Syafiq Daniel Osman, 26, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd. Aziz.
Pengakuan tertuduh tidak direkodkan memandangkan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan lelaki berkenaan didakwa membunuh mangsa, Muhammad Shakir Firman Mohammad Firdaus yang berusia 5 tahun 8 bulan, di sebuah bilik hotel dekat Sentul, Kuala Lumpur sekitar jam 1.15 pagi pada 3 Mac lalu.
Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan kes bunuh adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin selain menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, isteri kepada lelaki berkenaan yang merupakan pengasuh sepenuh masa mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya mangsa yang sama sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh, Nur Nilam Kamaruddin, 26, di sebuah unit kediaman dekat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Silang, Kuala Lumpur sekitar jam 9 malam, 25 Februari lalu.
Pertuduhan itu dikemukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehinga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan tidak mencadangkan sebarang jaminan ke atas tertuduh mengambil kira keseriusan kes dan mangsa telah meninggal dunia.
Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya ingin membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah membenarkan jaminan yang minimum atas alasan mempunyai dua orang anak selain sedang mengandung dua bulan serta tiada pendapatan.
Sejurus mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 selain syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berdekatan tempat kediaman sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 9 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini pada 4 Mac lepas, media melaporkan pasangan suami isteri selepas disyaki mendera anak asuhan mereka sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Kepong, pada 3 Mac lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan berusia 37 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat kanak-kanak malang berkenaan selepas dihantar oleh pengasuh.
“Kanak-kanak itu dihantar oleh pengasuh ke wad kecemasan HKL kira-kira 7.30 pagi dan hasil bedah siasat menemui 20 kecederaan pada kepala, badan, tangan, dan kaki yang dipercayai akibat hentakan benda tumpul,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

