Perpaduan rakyat Malaysia: Menyemai kaedah baru menuju masa depan

Dari Penulis

SUDAH lama saya tidak menulis dalam mana-mana media termasuk ruangan Randau kerana terlalu sibuk menumpukan perhatian kepada kerja hakiki dan gerak kerja membangunkan masyarakat. 

 Bagaimanapun situasi negara hari ini menyebabkan saya berasa rimas, geram dan kadangkala bimbang melihat perjalanan menuju masa depan yang seolah-olah menuju kehancuran. Sedikit sebanyak pengalaman hidup lebih setengah abad membolehkan saya merasai dan menilai kesan yang melanda negara ketika ini.

Hampir setiap hari kita disajikan dengan pelbagai ragam politik, tekanan ekonomi khususnya kos sara hidup dan masalah sosial seperti perpaduan antara kaum dalam masyarakat yang semakin meruncing. Semua itu boleh menjadi satu ledakan yang sangat berbahaya bagaikan daripada bom masa jika tidak ditangani segera.

Antara perkara penting yang perlu ditangani segera ialah soal konflik perpaduan dan keharmonian kaum yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Orang politik adalah pemimpin yang menentukan dasar perpaduan negara tetapi malangnya, orang politik di Malaysia masih menjadikan permusuhan kaum, pra-sangka dan prejudis terhadap agama, bangsa dan kaum sebagai modal.

Masing-masing akan menuduh antara satu sama lain sebagai ekstrimis sedangkan hakikatnya semua orang politik adalah sama sahaja. Tiada yang terkecuali kerana kita boleh menyaksikan tingkah laku mereka memandangkan semua parti sudah diberi peluang memerintah negara. Apatah lagi sejak kebelakangan ini orang politik berpolitik hampir 24 jam sehingga banyak juga keputusan kerajaan  mahu dipolitikkan.

 Kita harus menerima hakikat bahawa kestabilan negara sangat  bergantung kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat kerana Malaysia telah terbina sejak merdeka sebagai negara berbilang bangsa, agama, kaum dan etnik. Bukan mudah untuk menguruskan kepelbagaian ini kerana kedudukannya ibarat ‘telur di hujung tanduk’, tersilap langkah padah akan menimpa. Beberapa insiden melibatkan perbalahan antara kaum dan etnik pernah berlaku tetapi akhirnya dapat dikawal melalui penguatkuasaan dan penyelesaian oleh pemimpin pelbagai kaum yang duduk semeja.

Namun begitu situasi ekonomi yang semakin menekan masyarakat boleh menggugat perpaduan dan keharmonian jika api perkauman tidak dikawal. Sehebat manapun sesebuah kerajaan, jika api perkauman marak dengan pantas, ia akan mewujudkan suasana yang sukar dikawal mahupun dihentikan suatu hari nanti.

Itulah sebabnya, pengukuhan dalam membina perpaduan dan keharmonian bangsa Malaysia perlu digerakkan dengan pro-aktif serta bersifat asimilasi.

Penulis antara pelajar yang dipilih menyertai Kem Integrasi Pelajar Nasional di Melaka pada 1988
sekaligus membolehkan penulis memahami erti perpaduan nasional.

Ia bagi membolehkan nilai kasih sayang dan kebersamaan, hormat-menghormati serta toleransi dapat diterjemahkan dalam kehidupan bernegara. Ini kerana perpaduan dan integrasi nasional adalah tunjang keharmonian negara ini.

Generasi baru perlu dipupuk dengan nilai sejarah dan rasa kebersamaan sebagai rakyat majmuk untuk membentuk Malaysia yang aman, damai serta harmoni menuju masa depan. Membina generasi baru dengan perpaduan dan sifat toleransi tidaklah semudah yang kita fikirkan kerana Malaysia satu-satunya negara yang masih belum mengamalkan sistem satu sekolah. Sistem pendidikan kita masih dipisahkan oleh sekolah kebangsaan dan vernakular. Dasar sosial lain seperti penggunaan bahasa kebangsaan sekalipun  masih belum benar-benar berkesan untuk memupuk budaya bangsa yang kuat.

Justeru, dalam kerangka membina kefahaman, kesedaran dan penghayatan erti perpaduan, lima aspek berikut perlu difikirkan untuk diketengahkan sebagai pengisian membina perpaduan dan keharmonian Masyarakat Malaysia iaitu:

  • Menghayati sejarah pembinaan bangsa Malaysia yang perlu diterima secara jujur, Ikhlas dan terbuka.
  • Memahami asas Perlembagaan dan Rukun Negara yang menjaga kepentingan semua kaum.
  • Toleransi dalam perkongsian ekonomi bagi merapatkan jurang antara kaum.
  • Perkongsian kuasa yang baik dan seimbang untuk menentukan dasar negara.
  • Dasar dan pelaksanaan berkaitan perpaduan yang berdaya tahan untuk diuji sepanjang zaman.

 Jika kita berjaya mengisi kerangka yang dinyatakan  dengan tindakan progresif, strategik dan sistematik secara konsisten, sudah pasti generasi baru akan memahami erti Bangsa Malaysia yang majmuk serta boleh meraikan perbezaan untuk keharmonian negara. Perbezaan seharusnya bukan lagi membawa sengketa tetapi memberi manfaat dan kekuatan untuk mencipta kemakmuran dan kesejahteraan  kepada negara. Itulah uniknya Malaysia.

 Saya sudah melalui semua situasi di atas kerana pendedahan kepelbagaian bangsa sejak kecil dan pernah menjadi Ikon Integrasi Pelajar Nasional Ketika usia 16 tahun, anjuran Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perpaduan Negara pada tahun 1988.

*Penulis adalah Usahawan dan Aktivis Sosio-ekonomi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

72 pekerja asing dicekup dalam serbuan medan selera di Johor Bahru

SERAMAI 72 pekerja asing ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan beberapa premis makanan di sekitar bandar raya Johor Bahru selepas...

More Articles Like This