BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Memetik laporan BH Online, Ismail Sabri yang dilihat memakai pakaian kurta berwarna putih tiba di pejabat SPRM, Putrajaya pada pukul 8.46 pagi tadi.
Beliau menaiki kenderaan jenis Audi berwarna hitam diiringi peronda polis.
Ahli Parlimen Bera itu juga sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang menunggu bagi membuat liputan kes tersebut.
Semalam, media melaporkan Ismail Sabri diarah kembali menyambung keterangan kepada SPRM, pagi ini.
Arahan itu dikeluarkan selepas lima jam beliau memberi keterangan kepada suruhanjaya tersebut.
Baca artikel lain: Ismail Sabri tegaskan akan beri kerjasama sehingga siasatan SPRM selesai
Beliau hadir di pejabat SPRM semalam kira-kira pukul 9.45 pagi sebelum keluar pada pukul 3.13 petang.
Ismail Sabri dalam kenyataan pula menyatakan akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai.
Pada 11 Februari lalu, beliau disoal siasat selama lima jam di ibu pejabat SPRM berhubung perbelanjaan ratusan juta ringgit yang dibelanjakan untuk perbelanjaan promosi dan publisiti semasa pentadbirannya dari 2021 hingga 2022.
Hasil siasatan yang dijalankan setakat ini, SPRM sudah merampas wang tunai dalam pelbagai bentuk mata wang asing berjumlah kira-kira RM170 juta bersama 16 kilogram jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta.
Rampasan itu dibuat hasil serbuan terhadap tiga premis termasuk safe house selepas SPRM menahan empat bekas pegawai kanannya ketika menjadi Perdana Menteri.
SPRM juga membekukan 13 akaun bank yang mengandungi lebih RM2 juta sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap Ismail Sabri.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

