PENGERUSI Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menyangkal spekulasi kononnya beliau akan menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti tersebut, esok.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Bagan itu menyifatkan laporan media mengenai perkara berkenaan sebagai tidak berasas dan palsu.
“Guan Eng tidak akan sekali-kali menarik diri daripada pemilihan (CEC).
“Masa depan saya akan ditentukan sendiri oleh ahli DAP.
“Terima kasih kepada ahli parti atas keprihatinan anda. Jumpa anda semua di kongres (esok),” katanya dalam hantaran tersebut.
Guan Eng berkata demikian sebagai mengulas laporan media berbahasa Cina yang memetik sumber mendakwa dirinya mungkin mengumumkan penarikan diri pada konvensyen kebangsaan parti esok, yang turut menyaksikan pemilihan CEC diadakan.
Antara laporan yang dikongsi dalam hantaran Facebook itu mendakwa Guan Eng sudah membuat keputusan untuk berundur selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti semalam.
Laporan media sebelum ini mendakwa terdapat beberapa gerakan atau usaha untuk menyingkirkan bekas Menteri Kewangan itu daripada kepimpinan tertinggi DAP.
Baca artikel lain: 70 calon rebut 30 tempat dalam Pemilihan CEC DAP esok
Pemilihan CEC DAP akan berlangsung pada 10 pagi esok dengan 70 calon bakal berentap merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan.
Proses pemilihan yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor bersempena dengan Kongres Kebangsaan ke-18 parti itu akan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Guan Eng, diikuti ucapan dasar Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook seterusnya pemilihan CEC.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim sebelum ini berkata sebanyak 4,203 perwakilan dari 1,650 cawangan layak mengundi pada pemilihan berkenaan.
Antara nama utama bagi perebutan kerusi CEC itu ialah Loke, Guan Eng, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, Nga Kor Ming, Chow Kon Yeow, Sim dan Chong Chieng Jen.
Pemilihan kali ini juga mengetengahkan 15 calon wanita bagi merebut sembilan kerusi yang dikhaskan untuk mereka antaranya Hannah Yeoh, Teresa Kok, Teo Nie Ching, Yeo Bee Yin, Young Syefura Othman, Lim Hui Ying, Vivian Wong, Wong Shu Qi dan Alice Lau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

