POLIS Diraja Malaysia telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang melanggar dan menggilis seorang penunggang motosikal di Jalan Dato Yusof Shahbudin, Bandar Sentosa, Klang semalam.
Video penuh: https://t.me/infoutusantv/10200
Ketua Polis Daerah Klang, ACP Ramli Kasa berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada orang awam mengenai pergaduhan dua lelaki di lokasi kejadian pada jam 10.20 malam.
Katanya, mangsa, seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun yang menunggang motosikal telah mengelak daripada terlanggar lubang sebelum pergaduhan itu berlaku.
Begitupun, Ramli berkata, suspek yang sedang memandu kereta di lokasi tersebut beranggapan bahawa mangsa menunggang motosikal secara berbahaya dan membunyikan hon untuk menegur penunggang motosikal tersebut.
“Penunggang motosikal (mangsa) tidak berpuas hati setelah dihon oleh pemandu kereta (suspek) dan mengejarnya sehingga berlaku pertengkaran.
“Mangsa telah menghentak cermin hadapan kereta suspek sehingga retak menggunakan topi keledar. Suspek kemudian bertindak melanggar mangsa sehingga mangsa dan motosikalnya terheret ke bawah kereta suspek.
“Suspek kemudian beredar dari lokasi kejadian manakala mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahmah untuk pemerikasaan dan rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, mangsa telah mengalami kecederaan luka di kedua-dua kaki dan bahu serta sendi bahu kiri terkehel.
Katanya, mangsa ketika ini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan.
Menurut Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama 20 tahun.
“Pagi tadi pada jam 1.15 pagi, kita telah membuat tangkapan terhadap suspek untuk membantu siasata. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Permohonan reman terhadap suspek telah diluluskan selama empat hari iaitu sehingga 30 April ini. Pegawai penyiasat dalam proses melengkapkan siasatan dan akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh masa terdekat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

