Begitu rendah nilai ekonomi Bahasa Melayu?

Dari Penulis

OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

NAMPAKNYA baru saja berlalu beberapa isu panas seperti kehilangan bulan simbol agama Islam pada bendera Malaysia dalam dua akhbar, Shin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh.

Kemudiannya dalam iklan produk bayi di Kompleks Midvalley dan dalam episod bendera terakhir terpalit pula kisahnya dalam laporan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Kementerian Pendidikan sendiri yang baru sahaja melancarkan kempen lencana bendera di uniform sekolah dan institusi pendidikan agar semua tahu dan cinta bendera Malaysia.

Tamat episod bendera kini timbul pula sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Kerajaan dan agensinya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), secara berterusan sedang berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu khasnya bagi maksud rasmi di Malaysia.

Malangnya di celah-celah pelbagai usaha yang telah dilakukan, Menara Kuala Lumpur yang sekian lama tidak bergoyang dipukul ribut, tiba-tiba pimpinan barunya mengumumkan pertukaran namanya daripada Menara Kuala Lumpur kepada “Kuala Lumpur Tower” seolah-olah lokasinya juga telah bertukar dari Kuala Lumpur ke tengah kota London.

Nampak benar miskinnya jiwa pimpinan pengurusannya dan lebih malang pengumumannya pun dibuat oleh seorang yang dipercayai warganegara dan anak tulen Malaysia berbangsa Melayu (?) pula.

Cuma jiwanya mungkin sudah separuh London atau “anglophile”. Apalah gahnya dengan nama “Tower” itu? Lebih sedap dan enak didengar seolah-olah berada di Kota Londonkah?

Jelas fikiran anglophile masih beraja di hati dan minda walaupun selepas 70 tahun merdeka hatta di hati banyak pimpinan pengurusan tertinggi agensi kerajaan dan syarikat rangkaian kerajaan apatah lagi pengurusan syarikat swasta.

Agaknya bagi mereka tugas memartabatkan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini hanya di bahu kerajaan, Perdana Menteri dan DBP sahaja? Mereka tidak ada kena mengena langsung dengan tugas itu.

Ironinya mereka ada “tugas” khas untuk menginggeriskan segala nama yang berbau jati diri Malaysia kepada nama berbau Inggeris.

Sebab itulah penulis lebih mencadangkan pemakaian logo Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita berbanding logo bendera atau jika perlu juga pakailah kedua-duanya sekali.

Pada logo Cintailah Bahasa juga ada jalur putih merah bendera Malaysia. Cuma tiada bulan dan bintangnya, atau DBP boleh saja mereka bentuk logo baharu lengkap dengan bulan dan bintang agar lebih bermakna.

Menyorot beberapa hari sahaja sebelum diumumkan Menara Kuala Lumpur menjadi “KL Tower”, seorang wartawan sukan veteran, Johnson Fernandez telah mencadangkan nama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ditukar kepada nama yang lebih moden dan canggih kerana katanya nama KTMB yang lama itu sudah lapuk, usang dan tidak sesuai lagi.

Tanah Melayu juga sudah tidak ada lagi katanya? Yang ada, Malaysia. Atau adakah udang di sebalik batu maka cadangan itu dikemukakan? Mungkin nama Tren Nasional Malaysia lebih baik agaknya pada fikiran mereka atau paling bagus jika namanya Malaysian Express Train, barulah laju dan canggih?

Memang sejak lama dahulu agaknya ada golongan yang alergik atau ada alahan terhadap nama “Melayu” misalnya sehingga satu ketika dulu disebut nama bahasa Malaysia (walaupun tidak betul nama itu) sedangkan hakikat sebenar yang menuturkan sesuatu bahasa ialah orangnya atau “bangsa” dan bukan “negara” yang berupa fizikal muka bumi.

Misalnya Jerman, Rusia, Perancis, Norway, Sweden, Denmark, Sepanyol, Turkiye, Jepun dan Korea. Cuma dalam konteks di Malaysia, dari segi “pemilikan” bahasa Melayu tetap milik semua bangsa di Malaysia dan bukan milik bangsa Melayu sahaja. Cumanya orang Melayu ialah penutur asal bagi bahasa Melayu.

Sebenarnya tiada keperluan untuk membuang nama “Melayu” pada KTMB kecuali bagi mereka yang alergik dengannya. Nasib baiklah pengurusan KTMB tidak segera termakan hujah klise dan lapuk itu dan memaklumkan yang nama itu adalah warisan bersejarah KTM dan itulah tradisinya sejak kereta api diperkenal pada tahun 1885 walaupun kini telahpun dipermoden dengan pelbagai perkhidmatan lain seperti Tren Komuter elektrik yang baharu.

Justeru sebagai bukti tambahan, KTMB menghormati bahasa kebangsaan negara ini dan sebelum lebih banyak anglophile yang “melalut” eloklah KTMB menukar segera nama ETS (electric train service) mereka misalnya kepada PTE (perkhidmatan tren elektrik) dan KTM InterCity kepada KAB (KTM Antara Bandar).

Sebenarnya prosedur penjenamaan atau istilah dalam bahasa Melayu tidaklah susah. Antaranya tatacaranya ialah perlu mematuhi ketepatan makna, kata yang lebih ringkas jika banyak pilihannya, kata yang mempunyai konotasi atau makna yang baik dan ada keindahan bunyi atau melodinya indah.

Contoh mudah misalnya, Kompleks Daya Bumi yang masih tersergam megah hingga kini membawa makna besar, teguh dan perkasa. Kompleks Pertama pula membawa maksud antara kompleks niaga yang pertama di Kuala Lumpur.

Cuma malangnya Kompleks Pertama pun sudah hilang setelah “di make-up” baru sudah menjadi “Pertama Complex”. Seolah-olah apabila mendapat sentuhan baru, indah dan moden, namanya dalam bahasa Melayu sudah tidak layak digunakan.

Agaknya orang pun apabila sudah “bernilai” tinggi dengan ijazah sarjana atau PhD pun mungkin perlu setidak-tidaknya ada nama Inggeris di samping nama asal Melayu?. Gunakan “alias” seperti Ali@ John?

Seterusnya penjenamaan haruslah mengambil kira nama yang berjati diri tempatan negara ini di samping sejarahnya. Semua kementerian wajib bersama-sama DBP menjenamakan semua program, produk, majlis dan lain-lain dengan jenama berbahasa Melayu.

Kementerian Belia dan Sukan eloklah juga segera antara lain menjenamakan semula Le Tour De Langkawi kepada “Jelajah Langkawi” agar kata dan jenama “jelajah” dikenali di seluruh dunia.

Bahasa dan jenama berbahasa kebangsaan juga boleh menjadi produk pelancongan untuk dijual dan disebarluaskan.

Juallah jenama pisang goreng bukannya “banana fritters” sebagaimana sushi, sashimi, tempura, udon, takoyaki dan lain-lain dijual di seluruh dunia tanpa diterjemah kepada mana-mana bahasa.

Berbanggalah dengan bahasa negara sendiri ketimbang bahasa negara lain.

KPM juga misalnya wajib memastikan jenama sekolah seluruh Malaysia berjati diri negara ini misalnya penamaan sekolah premier yang terkenal seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar, Kolej Tunku Kursiah dan lain-lain kekal berbahasa Melayu. Sekolah tetap gemilang walaupun tidak mengekalkan nama asalnya dalam bahasa Inggeris.

Menara KL juga tetap tidak akan menjadi menara yang tertinggi di dunia walaupun setelah menjadi KL Tower, malah akan ditertawakan orang luar apabila mengetahui bahawa minda si pemiliknya masih ditawan Inggeris walaupun sudah 70 tahun merdeka.

Pasar Payang di Terengganu pun nyaris dijadikan Central Market Terengganu akibat saranan Menteri KPKT, Nga Kor Meng.

Kesilapan besar orang Malaysia terutama yang berjawatan tinggi termasuk menteri umumnya ialah memandang rendah atau tegasnya hina akan penjenamaan dalam bahasa kebangsaan seolah-olah rendah nilai ekonominya.

Baca artikel lain: Adakah kerajaan hari ini zalim?

Penulis teringat bekas Ketua Pengarah DBKL, Datuk Nordin Abdul Razak yang begitu kuat mempertahan bahasa Melayu di bandar Kuala Lumpur. Langkah mayat saya dulu, katanya. Malang dan sedihnya, beritahu beliau lagi ada juga rupanya “orang” yang boleh melangkah mayatnya (?).

Jenama Inggeris khususnya dipandang bernilai tinggi sedangkan kitalah yang utama dan perlu memberi nilai ekonomi yang tinggi kepada bahasa sendiri.

Jika kita sendiri memandang rendah bahasa negara sendiri, apalah nak diharap kepada orang lain? Contoh mudah, merosotkah kualiti sebuah kereta Porche atau cepat rosak jika urusan jual belinya di bilik pameran berlangsung dalam bahasa Melayu?

Begitu juga penggunaan bahasa Inggeris di pasar raya tidak akan menjadikan ikan kembung itu terasa amat enak umpama jenahak atau kerapu atau udang harimau dan udang kara setelah dimasak di rumah.

Sepatutnya Johnson Fernandez dan pihak berkenaan seperti PBT dan kerajaan negeri mengesyorkan dan berusaha menukar semua nama tempat, bandar daripada nama semasa era penjajah kepada nama berunsur tempatan.

George Town tidak akan mundur walaupun bernama Tanjung atau Tanjung Penaga. Begitu juga Butterworth jika dinamai Bagan. Port Dickson tidak akan sepi walaupun bernama Pantai Dermaga. Kota Kinabalu yang dahulunya Jesselton, saban tahun masih menerima ratusan ribu pelancong melalui lapangan terbangnya.

Semua orang tahu Perdana Menteri sekarang dahulunya seorang pejuang bahasa Melayu yang pernah menconteng nama berbahasa Inggeris di Universiti Malaya satu ketika dulu.
Kita percaya dan masih berharap semangat cintakan bahasa kebangsaan dalam diri beliau belum luntur. Sungguh malang jika urusan penjenamaan seperti ini pun perlu dicampur tangan oleh seorang Perdana Menteri yang sibuk dengan pelbagai urusan dasar negara, ekonomi, pentadbiran, politik dan sebagainya.

Sepatutnya semua menteri lain dan pengurusan tertinggi kementerian, PBT bersama-sama mendukung aspirasi Perdana Menteri dalam semua hal termasuk dari segi memartabatkan bahasa Melayu termasuk penjenamaan.

Sungguh letihlah jika semua perkara perlu dicampur tangan oleh Perdana Menteri. Tetapi pada kali ini penulis tiada pilihan dan terpaksa merayu Perdana Menteri buat kesekian kalinya untuk campur tangan dalam hal penjenamaan ini kerana kedegilan mereka yang tidak sudah-sudah.

Masa untuk mendidik hal ini sudah lama berlalu dan hanya arahan tegas yang dapat mendidik mereka yang masih liat hatinya untuk terus memperkasa bahasa kebangsaan selama 12 bulan setahun dan bukannya semasa musim Bulan Bahasa Kebangsaan iaitu pada bulan Oktober sahaja, setiap tahun.

DBP juga perlu mendapat kuasa perundangan daripada pindaan akta dengan kadar segera dan juga pengisytiharan bahawa naskhah sahih terkini Perlembagaan Persekutuan ialah teks bahasa Melayunya seperti yang telahpun diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Cukuplah jika Perdana Menteri bersin atau batuk sahaja, barulah mereka patuh. Kalau sekadar menjeling sahaja mungkin ada yang buat-buat tidak terpandang. Entahlah. Bahasaku oh bahasaku, layukah dikau di sangkar madu?

Penulis adalah Wakil Khas Persatuan Linguistik Malaysia bagi BBK

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kertas siasatan aduan terhadap Azam Baki diklasifikasi NFA

KERTAS siasatan berhubung pengaduan Tei Jiann Cheing (Albert Tei) terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan...

More Articles Like This