KERAJAAN telah bersetuju supaya kawalan harga telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi barangan itu dikurangkan dari 10 sen ketika ini kepada 5 sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei ini.
Pada masa sama, pemberian subsidi telur ayam juga akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini.
Menurut KPKM, langkah tersebut selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa di bawah Kerajaan MADANI.
KPKM memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin ekoran kos pengeluaran yang telah stabil.
Katanya, perkara itu terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukup dengan harga yang kompetitif.
“Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Rusia ke atas harga import soya dan jagung bijian.
“Kerajaan juga telah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama iaitu sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Baca artikel lain: Hetty Koes Endang sumbang suara tanpa bayaran kepada KPKM – Mohamad Sabu
Mengulas lanjut, KPKM memberitahu langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini subsidi tersebut turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Jelasnya, hasil penjimatan daripada peruntukan itu kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI.
Sehubungan itu, KPKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup.
“Pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.
“Rakyat juga boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Selain itu, KPDN akan terus mempertingkat penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

