BARISAN Nasional (BN) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang memaklumkan keputusan tersebut dicapai dalam pertemuan di Pulau Pinang baru-baru ini.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Liburan berkata, BN dan PH bagaimanapun masih terbuka untuk menerima parti tempatan lain menyertai kerjasama berkenaan.
“Pakatan yang terbentuk antara BN dan PH kekal menjadi kunci utama meskipun landskap politik di negeri ini masih tidak menentu.
“Sebenarnya keputusan kita BN-PH ini sudah diputuskan dalam retreat kami di Pulau Pinang. Itu adalah kunci pada dua tahun lalu. (Ketua UMNO Sabah) Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Ramadan lalu mengatakan BN-PH adalah kunci,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Suhami berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui tampuk kerajaan Sabah ketika ini masih tidak menunjukkan sebarang kecenderungan untuk menyertai pakatan BN-PH.
Katanya, meskipun PH masih berada dalam kerajaan negeri yang diterajui GRS sehingga habis penggal, namun perbincangan setakat ini hanya melibatkan BN dan PH.
“Sama ada kerajaan GRS-PH ini masih mahu terus berunding (untuk membentuk pakatan) BN-PH-GRS, itu terpulang. Tetapi bukan hari inilah. Hari ini kita memang BN-PH saja,” katanya.
Ditanya bila dijangka akan memuktamadkan kerjasama BN-PH secara rasmi, Suhaimi berkata, pihaknya mensasarkan dalam masa terdekat.
Berhubung hasrat ‘menarik’ Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam pakatan BN-PH untuk menghadapi PRK17, beliau mengesahkan yang parti berkenaan sudah memutuskan untuk bergerak secara solo.
Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan segalanya boleh berubah dengan tiba-tiba sekiranya parti berkenaan mahu menjalinkan kerjasama dengan BN-PH.
“Buat masa ini WARISAN katakan bahawa mereka akan berjalan solo. Tetapi kita tidak tahu sampai esok waktu gendang dipalu, kita tak boleh jangka sebab kedinamikan politik (di Sabah) susah diramal,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

