PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese atas kejayaan memimpin Parti Buruh merangkul kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum negara itu, semalam.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Albanese berhaya mengekalkan pentadbiran untuk penggal kedua.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan keputusan sangat meyakinkan itu mencerminkan cita dan nurani yang ampuh daripada rakyat Australia.
Sebagai rakan baik kepada Malaysia, beliau berkata, Australia mempunyai peranan tidak kecil terutama di rantau Asia Pasifik.
“Keprihatinan yang ditonjolkan saudara Albanese kepada Asia Tenggara semasa penggal pertama beliau sangat mengujakan dan Malaysia berharap agar semangat itu diteruskan dengan iltizam yang diperbaharui.
“Di saat wujudnya pelbagai tantangan baharu kepada rantau ini, saya bersedia untuk bekerjasama lebih rapat dengan beliau terutama dalam usaha dan upaya kita mempertahankan kestabilan, memperkukuh daya tahan selain membentuk masa depan dan kesejahteraan yang dikongsi bersama,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: PRU2025 Singapura: PAP kekalkan majoriti lebih dua pertiga, PM Wong terharu, berterima kasih atas mandat
Parti Buruh pimpinan Albanese berjaya mempertahankan kuasa untuk penggal kedua selepas mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Persekutuan Australia, lapor Xinhua.
Menurut unjuran Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), Parti Buruh dijangka memperoleh bilangan kerusi tertinggi dalam sejarah parti itu di Dewan Rendah Parlimen Persekutuan, tempat kerajaan dibentuk.
Kemenangan ini menjadikan Albanese pemimpin pertama daripada mana-mana parti utama yang memenangi pilihan raya berturut-turut sejak 2004.
Sehingga 10.45 malam waktu tempatan (1245 GMT), ABC mengunjurkan Parti Buruh akan memenangi sekurang-kurangnya 87 daripada 150 kerusi di Dewan Rendah Parlimen ke-48, mengatasi rekod parti itu sebelum ini iaitu 86 kerusi pada pilihan raya 1986.
Kiraan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Australia menunjukkan Parti Buruh mendahului gabungan konservatif Liberal-Nasional dengan nisbah 56.4-43.6 berdasarkan dua parti, dengan pengundi di seluruh negara menunjukkan peralihan sokongan kepada kerajaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

