TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan latihan penerbangan melibatkan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter secara berfasa mulai esok sehingga 19 Mei depan.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan memaklumkan, latihan penerbangan itu dilaksanakan sempena penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang akan berlangsung pada 20 hingga 24 Mei.
Menurut TUDM, fasa pertama latihan akan dilaksanakan bermula esok sehingga 13 Mei ini di ruang udara Alor Setar, Kedah dan Butterworth, Pulau Pinang.
TUDM memberitahu, fasa kedua latihan penerbangan itu pula melibatkan ruang udara Langkawi bermula 14 hingga 19 Mei ini.
“Pelaksanaan latihan ini adalah bertujuan memperkasakan kesiapsiagaan dan kecekapan anak kapal TUDM dalam memberikan persembahan terbaik bagi pembukaan serta pertunjukan udara untuk LIMA ’25 nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Peruntukan RM2.4 juta beri keselesaan, sinar baharu buat penghuni RKAT TUDM Kem Kelubi
Mengulas lanjut, TUDM turut meminta orang ramai supaya tidak cemas atau risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah dan bunyi letupan di sepanjang tempoh latihan dilaksanakan.
“Sepanjang latihan tersebut, pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu.
“Selain itu, latihan ini juga akan melibatkan beberapa siri letupan bagi gimik pembukaan LIMA ’25,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan jualan tiket untuk pelawat awam menyaksikan LIMA ’25 sudah lebih 10,000 terjual setakat ini.
Pameran kali ini dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) dengan segmen aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), manakala segmen maritim diadakan di Resort World Langkawi.
Edisi ke-17 penganjuran itu membawa tema ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

