
KETIKA tumpuan diberikan kepada Rafizi Ramli yang khabarnya bercuti panjang (tetapi sudah kembali bertugas) selepas ramai kawan-kawannya tewas dalam pemilihan PKR di peringkat Cabang, pada saat ramai tertanya-tanya adakah Saifuddin Nasution Ismail akan mencabar Rafizi untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dan sewaktu tersebar berita yang mendakwa Anwar Ibrahim ‘memberi restu’ jawatan berkenaan tidak dipertandingkan…secara tiba-tiba nama Nurul Izzah Anwar bergentayangan dan menjadi sebutan.
Aura gelombang reformasi yang pernah dibawa oleh puteri kesayangan Presiden PKR itu kira-kira 27 tahun lalu bagaikan kembali menarik perhatian arena politik tanah air khususnya melibatkan parti berkenaan, apabila Nurul Izzah menerima sokongan padu daripada Cabang-Cabang PKR untuk kerusi Timbalan Presiden.
Nurul Izzah yang merupakan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Permatang Pauh mula menerima sokongan dari seluruh negara bagi menduduki jawatan itu dan sekaligus bakal menyaksikan beliau bakal bertarung dengan Rafizi jika Ahli Parlimen Pandan tersebut mahu mempertahankannya.
Setakat artikel ini ditulis, PKR Selangor, Melaka, Perak, Pahang dan Johor sudah melontarkan sokongan mereka kepada Nurul Izzah malah Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga turut berbuat demikian manakala Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menyifatkan wanita berusia 44 tahun itu sebagai penyelamat PKR dan calon paling sesuai.
”Nurul Izzah ialah faktor yang boleh menyelamatkan PKR daripada mendapat pilihan yang tidak sesuai untuk jawatan sepenting Timbalan Presiden,”kata Hassan dalam kenyataan beliau.
Walaupun sebelum ini Anwar sudah memberi ‘amanat’ dan restu supaya Rafizi diberi laluan mudah untuk mengekalkan jawatan Timbalan Presiden namun Anwar dilihat tidak akan mampu menahan gelombang dalam PKR yang mahu anaknya menjadi orang nombor dua dalam kepimpinan PKR.
Penulis percaya Anwar akan menghormati pendirian ahli-ahli PKR kerana beliau pernah ‘ mengalami situasi yang sama’ pada tahun 1993 ketika berada dalam UMNO. Pada tahun tersebut, Anwar pada awalnya menyatakan beliau tidak berhasrat menentang Tun Ghafar Baba yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri bagi jawatan Timbalan Presiden.
Bagaimanapun beliau terpaksa mengubah fikiran apabila mendapat sokongan daripada hampir keseluruhan bahagian UMNO di seluruh negara. Anwar akhirnya menang tanpa bertanding selepas Ghafar membuat keputusan meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan tidak bertanding Timbalan Presiden.
Begitulah juga Nurul Izzah, sebelum ini beliau memang mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden – jawatan yang kali pertama disandang pada 2010 hingga 2018 sebelum meletakkan jawatan dan kembali semula di kedudukan itu pada 2022.
Tetapi Nurul Izzah tidak mungkin menolak gelombang kuat di seluruh negara yang mahukan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut ‘dinaikkan pangkat’ ke jawatan lebih tinggi iaitu Timbalan Presiden sekaligus meletakkan ibu kepada dua anak itu bakal mewarisi ‘takhta’ kepimpinan PKR daripada bapanya.
Tidak payahlah ada pihak mahu memainkan isu nepotisme atau menganggap PKR – parti anak beranak hanya semata-mata disebabkan Nurul Izzah adalah anak Anwar.
Perlu diingat Nurul Izzah bukannya diangkat oleh bapanya untuk menduduki jawatan dalam parti, Nurul Izzah bukannya dilahirkan selepas PKR diwujudkan tetapi beliau merupakan antara insan-insan yang mencetuskan kelahiran PKR yang asalnya dikenali sebagai Keadilan melalui perjuangannya sebagai Puteri Reformasi.
Untuk rekod ketika Keadilan diasaskan pada 4 April 1999, Nurul Izzah berusia 19 tahun dan walaupun sibuk dengan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) seterusnya melanjutkan pelajaran di School of Advanced Internationl Studies di Universiti Johns Hopkins Amerika Syarikat namun perjuangan beliau dalam arena politik tidak pernah luntur.
Nurul Izzah tidak memerlukan formula atau resipi untuk terkenal dalam PKR apatah lagi bergantung kepada bapanya untuk naik dalam politik, bukannya seperti sesetengah individu yang tiba-tiba popular dan bertanding dalam parti kerana bapanya Presiden. Sebaliknya, Nurul Izzah sememangnya ada karisma untuk menjadi pemimpin pelapis utama bagi meneruskan kepimpinan bapanya dalam PKR.
Oleh itu tindakan empat buah negeri setakat ini iaitu Selangor, Melaka, Perak, Pahang dan Johor menyokong Nurul Izzah untuk menjadi Timbalan Presiden PKR adalah tepat. Ia memandangkan PKR memerlukan nafas baru dalam barisan kepimpinan kerana parti itu kini bukanlah lagi parti pembangkang sebaliknya parti yang mengetuai pemerintaha negara.
Ketika mengulas sokongan yang diterima walaupun beliau belum mengumumkan pendiriannya namun ia memberi bayangan Nurul Izzah ‘’tidak akan sia-siakan’’ pandangan akar umbi. Kata beliau;
‘’Setulusnya, saya menghormati lagi menghargai pandangan akar umbi untuk saya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Keadilan.
‘’Keadilan sedang berada dalam fasa penting. Justeru, segala keputusan yang bakal diambil haruslah mempertimbang bukan sahaja keperluan menyatu dan memperkukuh jalinan sesama sahabat seperjuangan, tetapi juga keperluan membawa nafas baharu dan perubahan bermakna demi memastikan parti ini terus relevan dan diyakini rakyat Malaysia.
‘’Saya akan memberi keputusan terbaik mengimbangkan antara kesepakatan, jalinan dengan persahabatan dan perubahan serta reformasi bermakna buat semua anggota. Kita beri kata putus bukan untuk mana-mana individu, tetapi demi usaha membina masa depan Keadilan secara bersama di kala suka dan duka. Insya-Allah.
Perlu diingat walaupun Nurul Izzah kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Permatang Pauh tetapi sumbangan beliau sebagai salah seorang individu yang memainkan peranan penting mengukuhkan PKR sehingga parti itu berupaya ‘meranapkan’ kekuatan UMNO dalam pilihan raya tidak boleh dinafikan.
Kini UMNO sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan dan dengan keadaan UMNO tidak ada calon sesuai untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU-16 nanti, mungkin Nurul Izzah boleh menjadi calon utama jika bapanya bersara.
Mungkin ada meragui fakta ini tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil dalam dunia politik apatah lagi dengan kedudukan Anwar sebagai ahli politik paling berpengaruh sehingga mampu memastikan UMNO berada dalam kerajaan bersamanya.
Tidak mustahil juga apa yang berlaku dalam arena politik Thailand yang menyaksikan keluarga Shinawatra menguasai pucuk pimpinan negara boleh berulang di Malaysia. Di negara Gajah Putih itu, keluarga Shinawatra menjadi Perdana Menteri, bermula daripada Thaksin Shinwatra kemudiannya adiknya Yingluck Shinawatra dan terkini anak Thaksin, Paengtorn Shinawatra.
Bagaimana pula dengan kedudukan Rafizi? Sebagai seorang pakar stategik yang serik menghasilkan formula-formula hebat, Rafizi pasti ada formula untuk menangani cabaran Nurul Izzzah. Formula tersebut mungkin bukan setakat soal terus mempertahankan jawatan disandang tetapi boleh jadi juga memberi laluan mudah kepada Nurul Izzah.
Lagipun bak kata seorang kawan, ‘’Perjalanan perjuangan Puteri Reformasi itu jauh bermakna kepada PKR berbanding ‘kepintaran’ formula Rafizi.’’ …betul jugak kan?

