OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
DALAM seminggu dua ini orang politik buat kecoh lagi. Timbalan Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp difahamkan berkata, Malaysia bukan milik eksklusif mana-nama kaum.
Maksudnya milik semua warganegara Malaysia, tegasnya bukan milik Melayu semata-mata. Betul lah agaknya? Terutama bagi semua pemilik MyKad dan MyKid.
Ketua Pemuda UMNO, Muhammad Akmal Salleh pula berkata Malaysia selamanya Tanah Melayu dan ini tidak akan berubah. Setiausaha DAP Melaka, Kerk Chee Yee pula mengatakan Akmal keliru dengan peruntukan Perlembagaan sebagai justifikasi menentang naratif Malaysia dimiliki oleh semua rakyat.
Malah terbaru bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz juga semacam bersetuju Malaysia bukan milik eksklusif mana-mana kaum khususnya Melayu lah yang dimaksudkan. Agaknya Rafidah baru terbangun daripada lena yang panjang.
Tidak menghairankan kerana memang banyak orang Melayu sendiri sama ada tidak sedar atau kerana terlalu apologetik sehingga sanggup mengaku barang di tangannya milik orang lain. Kononnya demi menjaga hati, keharmonian dan macam-macam lagi.
Tidak sanggup berterus-terang dan kerana itu orang lain tidak segan-segan untuk memijak kepalanya. Mereka lupa pesan berharga orang lama, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
Mari kita tinjau sebentar siapakah yang keliru atau ada yang pura-pura keliru?
Merujuk Perlembagaan Persekutuan Perkara 1, nama, negeri-negeri dan wilayah Persekutuan dalam bahasa Melayu dan Inggeris ialah Malaysia.
Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada (a) Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan (b) negeri-negeri Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak.
Malah, perkataan “Melayu” tercatat sebanyak tidak kurang daripada 44 patah perkataan, tanpa menyebut kaum atau bangsa yang lain kecuali Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah iaitu penduduk asal di bumi ini yang diberi takrifan dalam Perkara 161A (6)(7).
Jangan pula kita menuduh Perlembagaan rasis pula. Negara ini memang ada pelbagai bangsa, kaum di dalamnya tetapi walau apa pun Perlembagaan sebenarnya mengiktiraf penduduk asal yang mempunyai sejarah dan tamadun lama di negara ini.
Malah, nama Malaysia sendiri merujuk kepada bangsa Melayu. Merujuk nama negara di dunia yang berakhir dengan ” land, tan dan ia” semuanya merujuk naksud yang hampir sama iaitu “tanah”.
“Land” daripada bahasa Inggeris atau Eropah, “tan” daripada bahasa Parsi dan “ia” daripada bahasa Latin. Misalnya England (tanah bangsa Angels), Iceland (tanah air batu), Scotland (tanah bangsa Scots), Swaziland (tanah bangsa Swazis), Finland (tanah bangsa Finns), Thailand (tanah bangsa Thai).
Banyak juga negara lain yang berakhir dengan “ia” seperti Rusia (Ross), Somalia (Somalis), Algeria (Algears), Bolivia (Bolivars), India (Indus), Columbia (Columbus), Mongolia (Mongols), Ethiopia (tanah bangsa kulit hitam).
Justeru janganlah ada mana-mana pihak yang bermain sentimen cuba melenyapkan sejarah dan hakikat yang terpahat dalam Perlembagaan dan sejarah. Apabila melibatkan kepentingan sempit sendiri, ada pihak tidak kisah walaupun terpaksa menjadi 10 kali kiasu, tetapi apabila terkait dengan fakta benar dan hakikat sejarah asal-usul negara ini maka fakta penghuni asal turun-temurun negara ini terlihat semacam dinafikan semahu-mahunya.
Baca artikel lain: PM harap hubungan global Malaysia terus berkembang
Berkongsi atas faktor sejarah dan penjajahan memang realiti yang tidak dinafikan. Itulah sejarah peninggalan British yang telah membawa masuk semua orang demi melancarkan kegiatannya memunggah tanpa had akan hasil masyhul negara ini tetapi janganlah sewenangnya atas nama kononnya telah sama membangun ekonomi maka sejarah ribuan tahun mahu dipadam segera.
Antara pakar sejarah ulung, mendiang Profesor Khoo Kay Kim sendiri mengakui bahawa ini adalah negeri bangsa Melayu dan British telah membawa pekerja bangsa Cina dan India untuk bekerja demi kepentingan ekonomi British.
Profesor “perpaduan” Datuk Dr Teo Kok Seong juga selalu mengingatkan mereka yang sama keturunan dengannya agar insaf, sedar dan bersyukur dapat hidup aman damai di negara ini yang tiada bandingannya dengan negara lain.
Akibat menyatakan kebenaran yang dirasakan pahit, mendiang Profesor Khoo dibenci bangsanya sendiri sehingga menghembus nafas yang akhir. Begitu juga Profesor Teo yang turut dikecam oleh golongan Tionghua sendiri.
Ekonomi memanglah diutamakan, diperjuang demi laba yang diidamkan, dulu hingga kini tetapi keringat darah siapakah yang mempertahan bumi ini semasa nenek moyang ratusan tahun dahulu? Perjuangan mereka tidak ternilai dengan wang ringgit dan ada pihak yang mahu melupakan begitu sahaja?
Menyatakan bahawa ini negeri Melayu bukanlah dengan maksud bahawa warganegara selain Melayu adalah bukan rakyat negara ini. Samalah jika dikatakan England negara Inggeris tetapi rakyatnya juga terdiri daripada pelbagai bangsa.
England dan Malaysia bukan negara pelbagai bangsa tetapi England adalah negara Inggeris yang mempunyai pelbagai bangsa di sana seperti juga Malaysia negeri Melayu dengan pelbagai bangsa di dalamnya.
Semua lidah tidak bertulang dan dengan mudahnya boleh mengaku Malaysia miliknya, malah mungkin jika boleh miliknya seorang sahaja atau kumpulannya sahaja bukan milik orang lain, kumpulan lain.
Diumpamakan seorang ibu bapa yang tua, daif tetapi mempunyai banyak harta, pasti semua anaknya yang tiga orang atau lima atau sepuluh orang berapi-api mengaku itulah ibu bapa mereka yang dikasihi.
Tetapi kerapnya hanya seorang atau paling-paling dua orang sahaja yang betul-betul bersusah payah menjaganya di kampung.
Bergilir-gilir pun belum tentu malah banyak yang culas akan gilirannya. Tetapi sebaik kedua-dua ibu bapa pergi mulalah masing-masing bertekak merebut harta pusaka yang tinggal dengan hujah tersendiri.
Begitu juga senang untuk mengaku aku anak Malaysia atau Malaysia milik mana-mana pihak. Tetapi negara ini bukan dalam bentuk yang vakum atau kosong.
Negara ini ada asas, jati diri dan pancang kenegaraannya. Antara pancang utama ialah Islam yang menjadi agama Persekutuan (Perkara 3 (1), bahasa Melayu bahasa rasmi dan kebangsaan (Perkara 152(1), mengakui kedudukan istimewa orang Melayu dari segi perizaban kuota, perkhidmatan, permit, biasiswa, keistimewaan pendidikan dan sebagainya termasuk bagi anak negeri Sabah dan Sarawak (153 (1),(2) dan (3).
Seterusnya warganegara hendaklah memperakui kedaulatan Raja-raja Melayu. Mari kita lihat satu persatu. Islam sebagai agama Persekutuan walaupun agama lain bebas dianuti (Perkara 3(1), Perlembagaan.
Malangnya tempoh hari tanpa memahami bagaimana agama Islam itu sebenarnya dan sekadar berdasarkan pengamatan luar sahaja, terlihat cadangan dalam media puak tertentu yang mendesak untuk melibatkan diri, tegasnya mencampuri hal ehwal berkaitan agama Islam.
Ini adalah sesuatu yang agak sensitif. Islam bukan sekadar isu halal haram dan ibadat khusus sahaja tetapi meliputi addin, seluruh kehidupan ini.
Berkaitan dengan bahasa kebangsaan. Difahamkan tiada masalah tentang bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Ini diterima tanpa syarat seperti selalu disebut-sebut oleh lidah tanpa tulang.
Malangnya tulisan jawi dalam buku teks sekolah yang merupakan tulisan warisan asal dan sebagai satu daripada dua kaedah tulisan bahasa Melayu ditolak bermatian-matian oleh ketiga-tiga parti terbesar kaum Tionghua di Malaysia sehingga dikurangkan daripada 10 muka surat kepada tiga muka surat?
Surat daripada pembesar Melayu dahulu kepada pembesar Inggeris seperti surat oleh Sultan Ternate kepada King James dalam tulisan jawi. Tiada pun rekod rungutan oleh King James kepada Sultan Ternate.
Dalam hal yang berkaitan dengan bahasa penghantar rasmi pendidikan jelas terserlah penolakan terhadap sekolah satu aliran sedangkan potensinya amat besar demi perpaduan yang lebih baik bagi semua bangsa, kaum yang ada di Malaysia.
Sedangkan tidak pun akan berlaku sebarang pengharaman bahasa Mandarin yang mungkin dirisaukan. Bahasa Mandarin misalnya akan terus diwajibkan sebagai satu mata pelajaran bahasa dan bahasa pilihan yang amat digalakkan bagi murid bukan Tionghua.
Malah, desakan demi desakan sehinggalah 70 tahun ini agar peperiksaan UEC berbahasa Mandarin dan kawalan kualitinya diragui malah bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan jelas menunjukkan bahawa secara langsung dan tidak langsung bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan, bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu di Malaysia ditolak mentah-mentah secara terang-terangan dan ini juga boleh membawa maksud cubaan halus untuk menjadikan bahasa lain, bahasa negara lain setaraf dengan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.
Walaupun sudah 70 tahun merdeka masih banyak kes anak muda Tionghua yang tidak fasih bahasa Melayu dan banyak juga yang tidak fasih bahasa Melayu tetapi fasih berbahasa Inggeris.
Ini jelas dapat menggambarkan sikap tidak apa dalam hal menguasai bahasa negara ini? Banyak kes anak muda Tionghua yang dihadapkan ke mahkamah masih memerlukan khidmat penterjemah kerana tidak faham bahasa Melayu.
Apakah yang dapat dipersepsikan oleh kita tentang hal ini? Justeru sejauh manakah dapat dipercayai bahawa Perkara 152 dalam Perlembagaan diterima dengan sepenuh hati atau cuma diterima “sesuku” hati?
Soalan terakhir, jika hingga kini, selepas 70 tahun merdeka, kita secara individu, pimpinan atau parti masih mempertikai pancang asas kenegaraan dan jati diri negara ini, menerima bahasa kebangsaan separuh hati, membisu apabila rakan kita sesekali mempertikai hal ehwal agama Persekutuan, kita juga diam apabila lambang dan simbol negara seperti bendera Jalur Gemilang diperlekeh, dihina, kita membisu apabila ada yang menyindir Raja-raja Melayu, mempertikai kedudukan istimewa orang Melayu berkaitan perizaban kuota pendidikan, biasiswa, perniagaan dan lain-lain, maka layakkah kita berkata Malaysia milikku, negaraku yang tercinta?
Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

