POLIS mengesahkan pempengaruh yang terkenal dengan jolokan CEO Batu menghantar beberapa imej serta mesej tidak senonoh dan berunsurkan seksual kepada remaja perempuan berusia 14 tahun, sejak awal Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir turut mengesahkan pihaknya telah menahan suspek berusia 22 tahun itu semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terbabit.
Katanya, penahanan ke atas lelaki itu susulan laporan dibuat oleh ibu mangsa yang mendakwa anak perempuannya menerima mesej dan gambar berunsur seksual melalui media sosial daripada suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menghantar beberapa imej tidak senonoh kepada mangsa sejak awal Mei lalu.
“Polis memandang serius kesalahan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak serta melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Ariffin memberitahu CEO Batu direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(e)Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Tambahnya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Siasat Jenayah, Inspektor Aldrin Anak Pegie ; 012-254 9543 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak; 03-6126 2222.
Terdahulu media melaporkan CEO Batu ditahan selepas menyerah diri di IPD Gombak pada semalam.
Nama CEO Batu menjadi perhatian warganet apabila pempengaruh dan penyanyi Caprice mendedahkan suspek itu menghantar mesej berbaur lucah kepada seorang remaja bawah umur.
Caprice turut mendedahkan ibu mangsa telah menghubunginya bagi mendapatkan bantuan mendakwa selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual.
Antara tangkap layar yang dimuat naik di akaun Instagram Caprice adalah kiriman mesej berserta gambar yang tidak senonoh dipercayai dengan niat untuk menunjukkan parut kesan pembedahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

