‘Saya tak pernah draf surat letak jawatan, kata tak mahu bertanding atau kosongkan pejabat’, Rafizi jawab Nurul Izzah

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

“SAYA ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah draf surat meletak jawatan atau menyatakan tidak akan bertanding.”

Demikian kata penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi turut menyangkal spekulasi bahawa beliau telah mula mengemaskan pejabat.

Justeru, kata beliau, alasan yang diberikan pencabar jawatan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa beliau mengambil cuti, mengosongkan pejabat dan tidak mahu bertanding untuk jawatan tersebut adalah tidak benar.

“Saya telah umumkan terlebih dahulu saya akan mempertahankan jawatan seperti yang diminta oleh Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri.

“Saya juga tidak pernah berkemas untuk mengosongkan pejabat. Pejabat saya masih kekal bersepah dengan fail-fail hingga ke hari ini.

“Selepas bercuti selama empat hari untuk berjumpa dengan akar umbi, saya kekal menjalankan tugas menteri seperti biasa.

“Jika benar Nurul Izzah bimbangkan kekosongan jawatan Timbalan Presiden, Saudara Saifuddin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) boleh sahaja bertanding sebagai timbalan.

“Lebih mudah, Nurul Izzah boleh berhubung dengan saya untuk mengesahkan, seperti mana beliau sering berhubung di tahun-tahun 2021 dan 2022 untuk memujuk saya kembali aktif ke arah persediaan Pilihan Raya Umum (PRU) 2022,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Baca artikel lain: ‘Saya terima seruan calon Timbalan Presiden kerana kemungkinan kekosongan jawatan’, kata Nurul Izzah

Mengulas lanjut, Rafizi turut mendedahkan bahawa Saifuddin meminta untuk beliau mempertimbangkan permintaan Nurul Izzah mengadakan pertemuan dengannya pada 19 Mei lalu.

Katanya, beliau bersetuju dan telah mengadakan pertemuan pada 20 Mei di kediaman Saifuddin.

Rafizi mendedahkan, Nurul Izzah telah merayu supaya beliau membantunya selepas pemilihan parti berakhir dengan gambaran untuk menawarkan jawatan dalam PKR.

“Saya nyatakan di awal perjumpaan saya tidak berminat dan akan menghormati keputusan pemilihan.

“Alasan yang diberikan ialah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baru yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada Presiden dan parti.

“Secara jelas, beliau berkongsi kebimbangan mengenai niat mereka, rekod mereka, amalan politik mereka dan kesannya kepada parti,” katanya.

Rafizi menegaskan, sekiranya Nurul Izzah bimbang mengenai amalan kumpulan itu, beliau seharusnya tidak bersekongkol semata-mata demi untuk menang jawatan Timbalan Presiden.

“Saya tidak pandai bermuka-muka. Saya diketahui di dalam dan luar parti yang saya tidak selesa dengan beberapa kumpulan, yang pada pandangan saya, tidak menggambarkan reformasi politik yang dibawa PKR.

“Amalan mereka banyak berkisarkan wang dan keghairahan mereka untuk mendapatkan jawatan bertentangan dengan janji reformasi yang dibawa parti.

“Atas alasan ini, saya dituduh ego. Setiap kali ada pemilihan, kumpulan ini bekerjasama untuk menolak calon-calon yang tidak mengamalkan perkara yang sama.

“Saya dituduh memburukkan parti apabila mengkritik amalan-amalan ini secara terbuka,” katanya.

Semalam, Nurul Izzah mendedahkan beliau menyahut ‘seruan’ akar umbi supaya mencalonkan diri bagi jawatan Timbalan Presiden PKR kerana terdapat kemungkinan kekosongan jawatan itu yang sekali gus menggusarkan ramai pihak.

Nurul Izzah dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu timbul selepas penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli telah mengambil cuti dan mengosongkan pejabatnya.

Menurut Nurul Izzah, kepimpinan parti turut dimaklumkan berhubung sepucuk surat peletakan jawatan Rafizi yang telah pun disediakan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO-BN Negeri Sembilan sedia letak calon di semua 36 kerusi DUN

UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bersedia untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan...

More Articles Like This