DATUK Seri Rafizi Ramli yang gagal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu, semalam mengakui berasa lega apabila kini boleh kembali menjadi orang biasa.
Malah, beliau secara sinis menyifatkan dirinya kini telah diselamatkan daripada sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi.
Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, Rafizi memahami rasa kecewa dan putus asa dalam kalangan ahli biasa PKR serta penyokongnya apabila beliau tewas dalam pemilihan itu.
Menurut Rafizi, beliau juga manusia biasa dan tidak terkecuali daripada rasa kecewa yang sama walaupun seketika apatah lagi hampir separuh usia dewasanya iaitu kira-kira 27 tahun telah dicurahkan kepada perjuangan itu.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau terjebak dalam gerakan reformasi sebelum PKR dilancarkan disebabkan sebuah idealisme.
Katanya, beliau mahu melihat perubahan kerajaan secara demokratik berlaku buat pertama kali kerana percaya persaingan sihat antara parti-parti politik adalah baik untuk rakyat.
“Daripada menggerakkan Kempen Antarabangsa Bebaskan Anwar, menyertai kepimpinan awal Pemuda Keadilan, hinggalah menulis sebuah buku untuk menerangkan kes mahkamah Anwar Ibrahim kepada orang awam.
“Saya meninggalkan kerjaya korporat yang baik pada usia yang muda atas permintaan Anwar, untuk menjadi Ketua Staf beliau di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
“Sehingga kini, saya telah mengharungi 16 kes mahkamah: tujuh jenayah dan sembilan saman sivil kerana mendedahkan pelbagai skandal kewangan awam.
“Mungkin saya menghabiskan lebih banyak masa di mahkamah berbanding peguam biasa. Saya pernah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun (ditangguhkan dan diganti dengan bon berkelakukan baik) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana peranan saya dalam mendedahkan skandal 1MDB,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menyifatkan beliau tidak menyertai PKR demi jawatan atau kedudukan menteri apatah lagi untuk membina kekayaan.
Baca artikel lain: Nurul Izzah menang beza undi hampir 6,000 tewaskan Rafizi
Beliau turut memahami bahawa nasib Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait rapat dengan PKR, namun menyifatkan percaya keabsahan PKR di mata rakyat melangkaui Anwar atau mana-mana individu.
Rafizi turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada dirinya.
“Saya sangat tersentuh apabila beberapa ahli muda parti menitiskan air mata semasa saya meninggalkan dewan, sambil merayu agar saya tidak meninggalkan PKR walaupun dilayan sedemikian rupa.
“Saya tidak berniat untuk berputus asa dan lari dari cita-cita idealisme kita selama ini iaitu Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik – cita-cita itulah yang telah menjerumuskan saya ke dalam aktivisme dan politik dahulu.
“Setiap satu masalah ada pelbagai penyelesaiannya. Setiap satu rintangan ada banyak jalan pintasnya,” katanya.
Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu semalam.
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa selepas selesai perasmian Kongres Nasional Keadilan 2025 berlangsung di Johor Bahru.
Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan Rafizi yang meraih hanya 3,866 undi.
Untuk rekod, Rafizi pernah tewas dalam saingan Timbalan Presiden PKR pada 2018 kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali namun berjaya menang pada pemilihan 2022 menewaskan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

