LAWATAN rasmi Perdana Menteri Laos dan Vietnam ke Malaysia bakal memperkukuh kerjasama dua hala dan perpaduan ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 27 Mei.
Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone akan mengadakan lawatan sulungnya ke Malaysia pada 25 Mei atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut Lao News Agency (KPL).
Lawatan ini juga sejajar dengan persiapan untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Laos pada 2026.
KPL melaporkan Sonexay akan diiringi oleh delegasi peringkat tinggi terdiri daripada enam menteri, tujuh timbalan menteri dan delegasi perniagaan.
Jadual lawatannya termasuk majlis sambutan rasmi di Putrajaya, pertemuan dua hala dengan Anwar dan menandatangani Memorandum Kerjasama antara Thanaleng Dry Port dan Pelabuhan Pulau Pinang untuk meningkatkan perdagangan rentas sempadan melalui kereta api dan laut.
Malaysia, pelabur asing kelima terbesar di Laos, akan turut meninjau kerjasama yang lebih luas dalam bidang tenaga boleh baharu dan infrastruktur. Perbincangan dijangka meliputi Don Sahong Hydropower Plant – antara pelaburan utama Malaysia – dan inisiatif Grid Tenaga ASEAN.
Pertukaran dalam bidang pendidikan dan pelancongan, termasuk sokongan biasiswa untuk pelajar Laos, turut berada dalam agenda perbincangan.
Media melaporkan Forum Perniagaan Malaysia-Laos pada 27 Mei dan lawatan ke Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menekankan komitmen kedua-dua negara terhadap jaringan rel serantau berdasarkan perjanjian kerjasama kereta api yang dimeterai pada 2023.
“Lawatan rasmi Perdana Menteri Sonexay Siphandone ke Malaysia menawarkan peluang kepada kedua-dua negara untuk mengekalkan dan meningkatkan komitmen bersama kami dalam memperkukuh hubungan dua hala,” kata Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud, yang dipetik oleh KPL.
Baca artikel lain: Deklarasi KL jadikan ASEAN lebih dihormati dunia – Pakar Akademik
Sementara itu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dijadualkan melawat Malaysia dari 24 hingga 28 Mei serta menyertai Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan.
Bercakap kepada Vietnam News Agency (VNA), Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai berkata ini akan menjadi lawatan rasmi pertama Chinh ke Malaysia dalam kapasiti semasa beliau dan akan menyediakan platform untuk meneliti kemajuan di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif yang diwujudkan antara kedua-dua negara.
Lawatan tersebut dijangka meningkatkan kerjasama dalam bidang utama seperti perdagangan, pelaburan, halal, minyak dan gas serta memperluas kepada bidang baharu seperti ekonomi hijau dan tenaga bersih. Ini akan turut memperkukuh pertukaran hubungan antara rakyat.
Tan berkata lawatan itu turut mencerminkan komitmen teguh Vietnam terhadap keamanan serantau dan perpaduan ASEAN.
Beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang diadakan dalam tempoh ketidaktentuan global menjadi detik penting kepada rantau ini dalam menghadapi cabaran seperti perubahan iklim, transformasi digital dan persaingan strategik.
Sidang kemuncak ini, bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ akan menghimpunkan pemimpin dari negara-negara anggota ASEAN untuk membincangkan isu-isu serantau dan merangka hala tuju masa depan kerjasama ASEAN.
Sebagai pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China akan berlangsung pada 27 Mei, bersama-sama dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, menjadi platform penting untuk memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

