PAS menggesa Kerajaan MADANI agar mengambil tindakan serta-merta untuk menarik semula langkah penarikan subsidi gas memasak daripada golongan peniaga kecil dan sederhana yang bermula 1 Mei lalu.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, hal itu kerana langkah mewajibkan penggunaan tong gas komersial 14 kilogram (kg) berwarna ungu berharga RM70 menggantikan tong subsidi isi rumah berharga RM26.60 adalah satu bentuk penindasan terang-terangan ke atas pengusaha kecil.
Katanya, kenaikan lebih 160 peratus itu adalah satu angka luar biasa yang boleh menghancurkan daya saing perniagaan kecil di Malaysia.
“Dengan hanya tiga tong sehari, kos operasi bulanan boleh melonjak lebih RM1,300. Ini bukan rekaan, ini adalah realiti matematik.
“Tiga tong sehari × RM70 × 30 hari = RM6,300 sebulan, berbanding sebelum ini, tiga tong × RM26.60 × 30 hari = RM2,394 sebulan. Kenaikan RM3,906 sebulan hanya untuk gas!” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, kerajaan langsung tidak menyediakan pelan mitigasi atau peralihan, sebaliknya, peniaga kecil disuruh terus mematuhi dasar baharu ini dalam suasana penuh tekanan, tanpa perincian yang jelas dan tanpa ruang perbincangan.
“Adakah ini definisi Madani? Menindas penjaja kecil di lorong-lorong belakang sementara kroni terus bergelumang dalam projek-projek mega?,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menambah, kesan daripada langkah zalim itu menyebabkan antara lain akan menyebabkan harga makanan naik, pelanggan makin tertekan, peniaga mikro dan B40 bakal terkubur dan inflasi makanan akan melonjak.
“Kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik alasan ‘ini hanya untuk peniaga’.
“Bila peniaga menanggung kos tambahan RM4,000 sebulan, adakah mereka akan kekal menjual makanan dengan harga sama? Tidak! Beban itu akan kembali ke pinggan rakyat.
“Sekiranya kerajaan terus bongkak dan pekak terhadap suara rakyat marhaen, maka rakyat berhak menolak kerajaan ini dalam pilihan raya akan datang.
“Reformasi yang dilaung-laungkan telah bertukar menjadi ‘reformoney’ – memperkaya kroni, memiskinkan rakyat. Ini bukan pentadbiran, ini rompakan gaya moden. Lebih tepat lagi, rompakan Madani,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

