KENDERAAN pelbagai guna (MPV) Naza Citra yang berhenti di lorong kecemasan, lokasi kemalangan maut membabitkan tiga pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra kerana mahu menukar pemandu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, maklumat itu diperoleh menerusi siasatan awal pihak polis susulan penahanan lelaki berusia 43 tahun yang merupakan pemandu MPV.
Katanya, lelaki terbabit masih ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Hasil siasatan mendapati kenderaan itu dipercayai berhenti di tempat kejadian untuk menukar pemandu.
“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau menambah, pemandu itu akan dibenarkan jaminan selepas siasatan berkaitan kes itu selesai.
Semalam UtusanTV melaporkan tiga penuntut IKBN Jitra maut ketika dalam perjalanan mereka untuk pulang bercuti sempena Aidiladha yang disambut esok, dengan menunggang dua motosikal.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal Jenis Yamaha 135LC ditunggangi mereka hilang kawalan sehingga melanggar bahagian belakang kereta yang sedang berhenti di laluan kecemasan.
Manakala sebuah lagi motorsikal jenis Y16ZR yang berada di belakang gagal mengelak dan melanggar Yamaha 135LC.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhamad Habil Mohd Sobri dari Gurun, Muhammad Fahmi Jamel (Jeniang, Sik) dan Muhamad Arif Aifan Derani (Bukit Selambau, Sungai Petani), masing-masing 19 tahun.
Manakala yang cedera ialah Muhammad Adib Aiman Mohamad Hasan, 19, yang membonceng sebuah motosikal itu pula mengalami cedera parah di kaki dan kini sedang dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

