PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, di pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri memaklumkan, beliau dan Muhammad Shahrul Ikram telah mengadakan perbincangan berhubung pengukuhan hubungan antara Malaysia dengan AS.
Pada masa sama, katanya, usaha-usaha bagi menarik pelaburan asing yang berkualiti serta berimpak tinggi turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Muhammad Shahrul, semoga dapat mengangkat aspirasi, imej serta reputasi Malaysia ke peringkat tertinggi,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.
Baca artikel lain: Muhammad Shahrul Ikram dilantik Duta Besar Malaysia ke AS
Muhammad Shahrul Ikram dilantik sebagai Duta Besar Malaysia Ke AS yang baharu, Selasa lalu, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Pelantikan Muhammad Shahrul Ikram yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Muhammad Shahrul Ikram, 64, adalah anak kelahiran Pahang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, AS.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar pada tahun 1988 dan menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Luar dari 6 Januari 2019 hingga 31 Mei 2022.
Sepanjang perkhidmatan selama kira-kira 35 tahun dalam perkhidmatan awam, Muhammad Shahrul Ikram pernah ditauliahkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar; Duta Besar Malaysia ke Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, AS.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

