KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap Speed Limitation Device (SLD) ke atas kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat.
Jelas beliau, SLD merupakan peranti kawalan had laju atau sistem yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan.
Katanya, peranti itu memainkan peranan penting dalam mengelakkan pemanduan melebihi had laju yang ditetapkan, terutamanya bagi kenderaan yang membawa muatan berat atau penumpang.
“Antara kaedah pelaksanaan penguatkuasaan SLD yang akan dilaksanakan adalah pengesahan kefungsian SLD yang mana semua bas persiaran, bas ekspres dan kenderaan barangan berat maksimum melebihi 3,500kg (yang didaftar bermula 1 Januari 2015), adalah diwajibkan untuk mendapatkan Pengesahan Kefungsian dan Laporan SLD.
“Selain itu, pengaktifan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) yang mana bagi kenderaan barangan (berat maksimum melebihi 3,500kg) dan kenderaan penumpang (membawa penumpang melebihi lapan orang dan berat maksimum melebihi 5,000kg) yang didaftar sebelum 1 Januari 2015, dan mempunyai fungsi SLD dalam ECU, pengaktifan peranti ini adalah diwajibkan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Loke berkata, dokumen Pengesahan Kefungsian dan Laporan SLD wajib diperbaharui setiap dua tahun dan perlu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dan ketika permohonan atau pembaharuan Permit di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Jelas beliau, dokumen tersebut juga perlu dibawa setiap masa di dalam kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan oleh JPJ.
Beliau berkata, penguatkuasaan pengaktifan SLD dalam ECU akan bermula 1 Januari 2026.
“Pelaksanaan penguatkuasaan ini adalah satu langkah penting ke arah memastikan kenderaan perdagangan mematuhi ciri keselamatan kritikal, seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang melibatkan nyawa dan harta benda.
“Pihak Kementerian menyeru agar seluruh pemain industri, pengeluar, operator logistik dan pemilik kenderaan perdagangan untuk memberikan kerjasama penuh demi merealisasikan sistem pengangkutan yang lebih selamat, moden dan berdaya saing selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan keselamatan jalan raya,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegramoke

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

