SEBUAH kereta dipandu warganegara Bangladesh hilang kawalan sebelum merempuh seorang pejalan kaki dalam satu kemalangan di hadapan Masjid Abu Hurairah menghala ke Bulatan Kepong di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Video penuh kejadian: https://t.me/infoutusantv/10716?single
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kenderaan itu turut melanggar bahagian hadapan sebuah lagi kereta sebelum merempuh mangsa yang berjalan kaki di jambatan terbabit.
Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta dan seorang pejalan kaki di tempat kejadian sekitar jam 4.04 petang tadi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 11.45 pagi tadi semasa seorang perempuan warga Vietnam berusia 43 tahun memandu kereta jenis Toyota Camry berwarna putih di lorong kiri jalan dari arah Batu Kentomen.
“Tiba-tiba sebuah kereta jenis Nissan Sylphy berwarna hitam dipandu seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun yang memandu dari arah Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar bahagian hadapan sebelah kanan Toyota Camry.
“Seterusnya Nissan Sylphy telah melanggar seorang pejalan kaki memnyebabkan mangsa terjatuh ke bawah jambatan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau menambah, selepas melanggar bahagian hadapan Toyota Camry dan pejalan kaki terbabit, Nissan Sylphy berkenaan telah terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit dan saluran paip besi.
Menurut beliau, pemandu Nissan Sylphy mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.
“Manakala mangsa pejalan kaki yang masih belum dikenal pasti dan disyaki telah terjatuh ke dalam sungai masih dalam pencarian.
“Pihak Bomba dari Balai Sentul, Jinjang dan Hang Tuah bersama pihak JPAM masih dalam proses pencarian mangsa. Pihak polis dari JSPT KL dan URB Balai Sentul turut sama dalam operasi pencarian tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, Nissan Sylphy terbabit bukan milik pemandu, sebaliknya dipinjam daripada rakannya dan pihak JSPT akan mengesan pemilik sebenar kenderaan tersebut bagi tindakan lanjut.
Katanya lagi, peringkat awal kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu Nissan Sylphy warganegara Bangladesh terbabit akan ditahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

