SEBUAH pesawat pengangkut milik Tentera Udara Diraja Malaysia dilaporkan tergelincir di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), pagi tadi.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dalam satu kenyataan yang mengesahkan kejadian itu berkata, insiden itu telah mengakibatkan landasan utama lapangan terbang terbabit terpaksa ditutup sementara.
MAHB selaku pengendali lapangan terbang berkata, langkah itu diambil berikutan pesawat jenis CN-235 tergelicincir di landasan berkenaan sekitar jam 11.30 pagi tadi.
“Landasan di KIA kini ditutup bagi memudahkan kerja-kerja mengalihkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pembersihan landasan.
“Notis kepada Anak Kapal Udara (NOTAM) telah dikeluarkan dan penutupan ini dijangka berterusan sehingga jam 3.00 petang hari ini.
“Sepanjang tempoh penutupan ini, semua operasi penerbangan di KIA akan terjejas,” katanya.
Justeru, pihak MAHB menyarankan agar penumpang-penumpang menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing.
“Pihak lapangan terbang akan memberikan maklumat terkini sebaik sahaja landasan disahkan selamat dan dibuka semula untuk operasi penerbangan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya lagi.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

