PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Itali dan Perancis selain dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-17 di Brazil.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Menurut Tunku Nashrul, lawatan kerja rasmi Perdana Menteri itu akan bermula esok sehingga 7 Julai depan.
Beliau berkata, lawatan ke tiga pusat ekonomi dunia iaitu Rome, Paris dan Rio de Janeiro itu bertujuan memperkukuh rangkaian diplomatik serta perdagangan Malaysia dengan negara-negara berkenaan.
Tunku Nashrul menjelaskan, ketiga-tiga pasaran tersebut secara kolektif telah merekodkan nilai dagangan dua hala berjumlah RM50.91 bilion tahun lalu.
Katanya, pasaran berkenaan turut menawarkan peluang pertumbuhan pesat dalam sektor ekonomi, kebudayaan, teknologi serta pendidikan.
“Perdana Menteri akan memulakan lawatan rasmi di Rome dengan mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni untuk menata agenda ekonomi dua hala dan merintis inisiatif kebudayaan bersama.
“Selain itu, sesi meja bulat perniagaan juga akan diadakan untuk menghimpunkan peneraju industri kedua-dua negara, manakala dialog bersama pemimpin komuniti Islam serta pertemuan diaspora Malaysia bagi menonjolkan jalinan insani serta bakat negara di Eropah,” katanya dalam taklimat tersebut.
Baca artikel lain: Projek Kota MADANI bukan sekadar sedia kediaman, dirancang menyeluruh – PM
Setibanya di Paris pula, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri dijadual bertemu Presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan fokus perbincangan merangkumi sektor perdagangan, teknologi dan pendidikan.
Di samping sesi meja bulat bersama gergasi industri Perancis, jelasnya, Perdana Menteri juga akan berdialog bersama pemimpin komuniti Islam setempat dan menyantuni warga Malaysia di Perancis selain menyampaikan Syarahan Umum di Sorbonne University pada 4 Julai.
Beliau memaklumkan, Anwar kemudiannya akan ke Rio de Janeiro pada 5 hingga 7 Julai bagi menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 atas jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.
“Kehadiran Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025 akan menekankan kepentingan multi-lateralisme berasaskan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan, tindakan iklim dan kesihatan global, mewakili aspirasi lebih 650 juta rakyat ASEAN,” katanya.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul memberitahu, Perdana Menteri dan delegasi akan tiba di Kuala Lumpur pada awal pagi 9 Julai dan kemudiannya terus menghadiri mesyuarat Menteri Luar ASEAN pada hari yang sama.
“Kerajaan MADANI menaruh harapan yg tinggi agar rangkaian pertemuan di Rome, Paris dan Rio de Janeiro ini akan memperkasa persahabatan, memacu perdagangan, dan membuka limpahan peluang baharu demi kesejahteraan rakyat Malaysia serta seluruh warga ASEAN.
“Perdana Menteri turut memohon doa dan sokongan padu rakyat Malaysia agar setiap rundingan dipermudah dan setiap hasilnya kelak benar-benar membawa manfaat yang mampu dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

