RUNDINGAN dengan Indonesia yang turut melibatkan Kerajaan Negeri Sabah mengenai kawasan yang dipertikaikan di Laut Sulawesi masih berjalan, kata Perdana Menteri Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menegaskan, dakwaan bahawa Malaysia telah melepaskan haknya kepada Indonesia seperti yang dimainkan oleh pihak tertentu juga tidak benar.
Beliau berkata, sebarang persetujuan berkaitan sempadan maritim atau kerjasama minyak dan gas mestilah mematuhi kerangka perundangan dan sejarah.
Hal itu jelasnya termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 dan yang paling penting, mendapat persetujuan kerajaan Sabah.
“Ia (kawasan itu) dinamakan Ambalat oleh Indonesia, kita panggil Laut Sulawesi. Ada yang buat tuduhan dalam Parlimen kata, ‘wah, sudah selesai’.
“Kita mesti bincang dalam Parlimen mengikut undang-undang, mengikut UNCLOS 1982, mengikut sejarah terdahulu, dan ia mesti dipersetujui oleh kerajaan negeri Sabah.
“Dan akhirnya, pendirian sah negeri inilah yang kita putuskan dalam mesyuarat rasmi ini, bukan contengan dan penipuan di bawah sana,” katanya memetik laporan Bernama.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI juga komited dalam memacu pembangunan Sabah serta menyelesaikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi pelbagai inisiatif dan peruntukan, sambil menekankan kepentingan untuk terus memelihara hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara tuntutan yang telah diselesaikan termasuk pemberian khas interim untuk Sabah yang dinaikan daripada RM300 juta kepada RM600 juta tahun ini dan peruntukan RM10 bilion bagi menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.
“Tertangguh (Lebuh Raya Pan Borneo Sabah) dengan kerajaan sebelum ini tetapi kita teruskan bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Mungkin mereka belum nampak, belum siap (Lebuh Raya Pan Borneo Sabah), tapi sekurang-kurangnya kita dah luluskan dan pakej kerja berjalan,” katanya.
Mengenai aspek utiliti, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan menyerahkan pengurusan bekalan elektrik sepenuhnya kepada kerajaan negeri dengan subsidi berterusan selama tujuh tahun hingga 2030 berjumlah RM3.54 bilion.
Bagi menyelesaikan isu bekalan air yang masih berlarutan,Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM300 juta, selain projek di bawah RM50 juta kini diserahkan kepada pentadbiran kerajaan negeri.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

