DALAM arus peredaran teknologi yang kian pesat, penggunaan internet dan media sosial telah menjadi medium penting sama ada untuk melayari maklumat atau platform berhubung sesama individu.
Namun begitu, ‘dunia tanpa sempadan’ di alam maya telah menyebabkan berlakunya pelbagai isu sosial termasuk buli siber.
Tidak kira batas umur atau jantina, semua pihak terdedah kepada kejadian buli siber sehingga ada yang meragut nyawa akibat kemurungan dan sebagainya.
Apa itu buli siber?
Justeru, apakah yang dikatakan dengan buli siber?
Profesor Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Prof Datin Dr Sapora Sipon berkata, seseorang individu boleh dikatakan terlibat dalam buli siber apabila menyakiti, mengganggu, mengugut atau memalukan individu lain menggunakan teknologi digital.
Kata beliau, perbuatan buli siber merangkumi di media sosial, mesej teks, e-mel atau permainan dalam talian.
Sapora memaklumkan, ia berlaku apabila pelaku menggunakan internet atau peranti untuk menyerang mangsa secara berulang dan sengaja.
“Buli siber berlaku dalam banyak cara. Ada yang disedari dan ada yang tidak disedari oleh pelaku.
“Antara tanda-tanda buli siber termasuk mesej atau komen kasar, menghina atau memalukan di media sosial.
“Selain itu, ia boleh berlaku juga dalam bentuk penyebaran maklumat palsu atau gambar mangsa tanpa izin,” katanya kepada UtusanTV.
Masih kurang kesedaran
Mengulas lanjut, Sapora mengakui masyarakat masih kurang kesedaran tentang buli siber kerana menganggap elemen buli hanya berlaku secara fizikal, bukan dalam talian.
Menurut Sapora, tanggapan sebegitu muncul kerana kurangnya pendidikan dan kempen kesedaran mengenai kesan serius buli siber.
“Selain itu, sesetengah ibu bapa atau guru tidak faham sepenuhnya platform digital yang digunakan oleh remaja.
“Mangsa juga jarang melaporkan kejadian buli siber kerana tidak mahu menanggung malu,” katanya.
Kempen Internet Selamat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Menyedari hakikat tersebut, Sapora berpandangan Kempen Internet Selamat (KIS) yang dilaksanakan MCMC sebagai sangat penting bagi memberi pendedahan mengenai buli siber.
Kempen Internet Selamat itu yang telah dilaksanakan sejak Januari lalu memberi tumpuan kepada beberapa isu keselamatan dalam internet termasuk CSAM.
Baca artikel lain: MCMC ambil tindakan segera berkenaan kenyataan PMO tentang Muhyiddin
KIS yang telah dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 21 Januari lalu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan internet melalui advokasi dan penglibatan komuniti.
Kempen berkenaan menyasarkan sebanyak 10,000 buah sekolah dan institusi awam di seluruh negara.
Turut diberi tumpuan dalam kempen ini adalah penipuan dalam talian, perjudian dalam talian, buli siber dan penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun.
Berdasarkan statistik MCMC, sebanyak 19,440 kandungan dalam talian daripada 24,283 permohonan melibatkan buli siber telah diturunkan sejak awal tahun sehingga 26 Jun lalu.
Jumlah tersebut meningkat berbanding 8,756 kandungan yang diturunkan daripada 11,385 permohonan sepanjang tahun lalu.
Justeru, keberadaan KIS amat penting terutama bagi melindungi anak-anak dan keluarga daripada terdedah daripada ancaman di alam maya.
Langkah ini sejajar dengan agenda KIS 2025, yang bukan sekadar memberi kesedaran, tetapi juga memacu tindakan bersepadu dalam menjamin ruang digital yang lebih bersih dan selamat untuk semua, terutama kanak-kanak dan remaja.
MCMC menyeru kerjasama berterusan daripada semua lapisan masyarakat bagi memastikan internet terus menjadi ruang yang positif, selamat dan membina.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

