SERAMAI 705 pegawai perubatan dan 1,394 jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) yang berkhidmat melebihi lima tahun telah meletakkan jawatan dari tahun 2022 hingga 2024.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, antara alasan utama peletakan jawatan pegawai perubatan dan jururawat tersebut adalah ingin berkhidmat di sektor swasta atau badan berkanun; atas sebab peribadi dan masalah kesihatan.
Menurut beliau, KKM tidak mempunyai kuasa menyekat pegawai perubatan dan jururawat daripada mencari peluang pekerjaan di sektor swasta serta luar negara.
Bagaimanapun, kata beliau, tanggungjawab besar terletak kepada KKM untuk meningkatkan usaha mengekalkan bakat sedia ada dan membendung penghijrahan.
“Antaranya menerusi beberapa inisiatif termasuk pengecualian lantikan kontrak interim jururawat oleh agensi pusat yang telah dilaksanakan bagi lantikan tahun 2023 dan 2024.
“Pengambilan lantikan baharu jururawat dalam tempoh interim bagi tahun 2025 juga boleh dilaksanakan secara lantikan tetap.
“Pengurangan waktu bekerja syif daripada 45 jam kepada 42 jam seminggu bagi pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan jururawat di wad,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai jumlah dan trend kehilangan tenaga kerja berpengalaman, iaitu lebih lima tahun perkhidmatan dalam kalangan doktor dan jururawat sektor awam serta punca utama, selain langkah KKM untuk mengekang masalah itu.
Baca artikel lain: Waktu bekerja 42 jam tingkatkan motivasi – Kesatuan Jururawat
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM turut melaksanakan pemberian elaun dan insentif khusus, antaranya Elaun Lokum, Bayaran Insentif Pakar, Elaun Pos Basik dan Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan.
“Bayaran Insentif Pra-warta turut diberikan kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE) bagi mengiktiraf komitmen dan beban tugas kepakaran dalam tempoh SWE.
“Selain itu, peluang kenaikan pangkat secara berasaskan masa dari Gred UD9 ke Gred UD14 dalam tempoh 9 hingga 12 tahun bagi pegawai perubatan.
“Bagi anggota paramedik, peluang kenaikan pangkat secara berasaskan masa, berdasarkan kecemerlangan (TBK 1 dan TBK 2) apabila genap tempoh perkhidmatan 13 tahun,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly menegaskan bahawa KKM kekal komited untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan menerusi usaha berterusan dalam meningkatkan kemahiran, kesiapsiagaan dan mobiliti tenaga kerja.
Justeru, katanya, bagi menyokong usaha berkenaan, KKM telah melantik seramai 12,761 pegawai perubatan dan 5,396 jururawat bagi mengisi kekosongan jawatan tetap dari tahun 2022 hingga 2024.
“KKM komited dalam menambah baik insentif dan manfaat kepada pegawai perubatan supaya kekal berkhidmat dan memperkukuh lagi pengurusan sumber manusia dari semasa ke semasa, terutama bagi fasiliti sedia ada, baharu dan dinaik taraf.
“Ia supaya KKM dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

