Membendung buli yang tidak berkesudahan, perlukah ikut cara Finland?

Dari Penulis

Pada 16 September 2019, Diego Stolz yang berada dalam waktu persekolahan di sebuah sekolah di Moreno Valley di California, Amerika Syarikat, tiba-tiba diserang dua pelajar lelaki. Diego ditumbuk yang menyebabkannya terjatuh dan kepalanya terhentak pada tiang konkrit.

Disebabkan insiden itu, Diego yang baru berusia 13 tahun mengalami kecederaan parah di otak, tidak sedarkan diri. Diego meninggal dunia pada 25 September 2019, sembilan hari selepas itu.

Diego Stolz dan rakaman dia ditumbuk rakan sekolah yang membawa kepada kematiannya.

Kes Diego telah membuka sejarah buli yang tidak pernah diendahkan sebelumnya. Rupa-rupanya, Diego pernah dibuli berulang kali sama ada secara lisan atau fizikal sejak tahun ketujuh persekolahannya. Keluarganya pernah membuat aduan kepada pihak sekolah, tetapi tiada tindakan tegas yang diambil.

Malah, empat hari sebelum kejadian yang meragut nyawanya, Diego ada mengadu kepada guru sains dan penolong pengetua sekolah tersebut tentang pelajar yang membulinya, namun pelaku itu masih berada di sekolah tanpa sebarang tindakan diambil.

Setelah nyawa Diego berakhir, kedua pelaku yang menyebabkan kematian Diego telah dibicarakan di mahkamah. Mereka mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat. Kerana masih di bawah umur, keduanya menjalani hukuman 47 hari sebagai tahanan juvana sebelum dibebaskan kepada penjaga masing-masing.

Keluarga Diego turut memfailkan saman terhadap sekolah tersebut pada tahun 2020. Pentadir sekolah dikenakan tuduhan mengabaikan aduan dan tanda-tanda amaran awal kes buli tersebut.

Kes berjalan di mahkamah dan pada tahun 2023, keluarga Diego mencapai penyelesaian dengan diberi pampasan sebanyak USD27 juta, yang disifatkan sebagai penyelesaian kes buli terbesar di Amerika Syarikat.

Menurut peguam keluarga tersebut, Dave Ring, Diego tidak akan kembali, tetapi kejayaan saman tersebut adalah sebagai pengajaran kepada semua sekolah di sana supaya tidak mengabaikan amaran tentang aduan pelajar yang dibuli.

Ini pula kisah di Jepun. Pada Oktober 2011, seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun membunuh diri dengan terjun dari apartment rumahnya di Otsu dalam wilayah Shiga Prefecture.

Kes tersebut mencetuskan kemarahan rakyat Jepun apabila pelajar itu membunuh diri ekoran menanggung penderaan mental dan fizikal yang teruk kerana dibuli rakan sekolah. Selepas kematiannya, terbongkar sisi gelap pihak sekolah dan lembaga pendidikan daerah yang cuba menutup hakikat bahawa pelajar itu telah dibuli.

Kes yang mendapat perhatian hangat di negara matahari terbit itu telah mendorong pihak berkuasa menjalankan siasatan dan undang-undang baru diluluskan di Jepun pada 2013 yang bertujuan untuk mencegah, melakukan pengesanan awal dan langkah menangani kes buli di sekolah.

Rang undang-undang tersebut juga mewajibkan semua pihak pentadbiran sekolah untuk mengenal pasti tanda-tanda buli seawal mungkin dan melakukan siasatan terperinci terhadap setiap aduan atau laporan buli.

Pun begitu, pelaksanaan undang-undang tersebut dikatakan masih tidak mampu menurunkan kes buli di sana. Kes buli terus meningkat sama ada secara berdepan mahu pun buli siber. Ia terus berlaku sehingga ada yang mengakibatkan kematian mangsa.

Di Jepun, buli disebut sebaga ‘ijime’. Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh JaIS (Japan Ijime Scale), 35.8% pelajar pernah menjadi mangsa buli setiap 2 ke 3 bulan sekali. Sebanyak 32.8% pernah menyaksikan perbuatan buli dan 11.8% pernah melakukan perbuatan buli. Data ini menunjukkan buli adalah sesuatu yang serius di Jepun. Angkanya terus meningkat dan undang-undang sedia ada tidak mampu untuk mengawalnya.

Negara Mana Punya Undang-Undang Terbaik?

Pembuli ada di semua celahan dunia ini. Namun, bagaimana sesebuah negara itu mengimplementasikan undang-undang untuk menangani keadaan ini terutama di sekolah.

Di Finland, mereka melaksanakan program Kiusaamista Vastaan (KiVA) yang bermaksud ‘pecegahan buli’. Bagi mereka, krisis buli perlu ditangani dengan cara kekeluargaan.

Kerajaan Finland memberikan dana kepada Universiti Turku pada 2006 untuk membangunkan program KiVa ini. Program tersebut menggunakan konsep tindak balas pengurusan yang membabitkan semua lapisan pentabiran sekolah. Bahagian pejabat akan memantau kelas, kelas akan memantau pelajar di mana semua orang terlibat. Tiada yang terkecuali.

Pelajar juga dikehendaki membuat perbincangan dan latihan secara berkumpulan. Mereka akan diberi tonton filem pendek tentang buli dan perlu menjawab soalan mengenainya. Apabila pelajar faham tentang buli, mereka akan sentiasa diingatkan antara satu sama lain.

Cara Finland ini ternyata berkesan dan kes buli semakin berkurangan. Ia membuatkan pelajar menjadi berani untuk melaporkan sebarang kejadian buli, bukan hanya terhadap diri sendiri, tetapi juga jika menyaksikan kawan-kawan mereka dibuli.

Disebabkan kejayaan program KiVA ini juga, banyak negara lain seperti New Zealand sanggup membayar pendidik dari Finland untuk datang mengajarkan program tersebut di negara mereka.

Kejayaan Finland dalam membanteras gejala buli dengan program KiVA membuatkan banyak negara lain berminat untuk mendapatkan khidmat tunjuk ajar mereka.

Bagaimana Dengan Kita?

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) disahkan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang, Selangor.

Pegawai kadet berusia 21 tahun itu mempunyai kesan kecederaan daripada 90 kejadian termasuk dikenakan seterika wap, yang menyebabkan 80 peratus badannya melecur. Zulfarhan juga mengalami beberapa serangan lain kerana didakwa enggan mengaku mencuri komputer riba salah seorang penyerangnya, di asrama universiti awam di Kuala Lumpur itu.

Pada 27 Mei lalu, seorang pelajar G Sarvina,17, meninggal dunia selepas didakwa minum racun di sebuah sekolah di Klang, Selangor. Namun, ibu bapanya membuat laporan dan meminta siasatan menyeluruh terhadap pihak sekolah dan kematian anak mereka. Kes itu menimbulkan pelbagai persoalan, adakah kemungkinan kecuaian pihak sekolah atau wujudnya unsur buli yang cuba disembunyikan.

Terbaru, kes Zara Qairina, pelajar tingkatan satu yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu yang dikatakan terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah di Papar, Sabah.

Insiden tragis itu mencetus kemarahan orang ramai selepas dakwaan timbul bahawa kematiannya ada kaitan dengan perbuatan buli yang berlaku di sekolah berkenaan sehingga memacu kempen Justice For Zara di laman sosial.

Zara Qairina.

Kes buli di Malaysia sebenarnya isu yang membimbangkan. Menurut laporan Astro Awani, sebanyak 4,994 kes buli dilaporkan dari Januari hingga Oktober tahun 2023. Pada tahun 2024 pula, lebih 6,000 kes buli dilaporkan membabitkan pelajar sekolah seperti yang disiarkan Sinar Harian.

Walaupun ada tindakan dilakukan untuk menangani kes buli, tetapi ia tidak menjamin isu ini mampu dikawal dengan baik, malah kes yang dilaporkan semakin meningkat. Lebih menyedihkan apabila turut menyebabkan kematian.

Di mana silapnya? Apakah undang-undang dan penguatkuasaan kita terhadap isu ini lemah? Atau kita perlukan sesuatu modul yang sesuai dengan masyarakat kita untuk membendung masalah ini seperti yang dilakukan Finland?

-Nita Dahnin adalah pengarang Mastika di UtusanTV

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Anwar menghadap TMJ dalam suasana mesra, harmoni

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, hari ini. Menurut...

More Articles Like This