POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah menggerakkan pasukan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan adil dalam kes serangan terhadap anak bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, siasatan itu bagi mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Katanya, semua siasatan yang dijalankan adalah secara adil dan berlandaskan undang-undang tanpa dipengaruhi oleh status mahupun latar belakang mana-mana pihak.
Saifuddin Nasution berkata, ia selaras dengan tanggungjawab PDRM memastikan keselamatan dan keadilan untuk semua rakyat termasuk kanak-kanak.
“Saya telah menghubungi dan bercakap sendiri dengan Rafizi sejurus dimaklumkan mengenai insiden ini. Saya merakamkan rasa simpati dan keprihatinan yang
mendalam kepada Rafizi dan keluarga atas insiden serangan yang melibatkan anak beliau di Putrajaya.
“Saya mendoakan agar anak beliau segera pulih dan keluarga tabah menghadapi ujian ini. Keselamatan rakyat adalah keutamaan dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman.
“Saya menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Rafizi mengesahkan insiden anaknya diserang secara tiba-tiba di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya, 1.45 petang tadi.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kejadian berlaku apabila anak dan isterinya itu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli-belah tersebut sebelum didatangi seorang lelaki yang mengheret anaknya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
Menurut Rafizi, semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isterinya dan beliau percaya serangan itu telah dirancang lebih awal.
“Serangan itu melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya. Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

