SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia di puncak air terjun berdekatan Kampung Teluk Sanau, Baling, Kedah.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, pihaknya menerima panggilan daripada polis untuk membantu mencari dan menyelamat mangsa lemas di hutan air terjun berkenaan pada jam 2.34 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk membantu mengangkat mayat berkenaan pada ketinggian lebih 9 meter.
“Pasukan Bomba terpaksa mendaki dan menyelusuri denai sejauh tiga kilometer (km) untuk sampai ke puncak dan didapati mangsa tidak sedarkan diri.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut menyertai operasi itu di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, pihak bomba menggunakan pengusung dan sistem tali untuk membawa mangsa turun mangsa.
Beliau berkata, kerja-kerja mengeluarkan mangsa amat berisiko disebabkan curam dan permukaan batu yang licin dan struktur muka bumi yang tidak sekata dan hujan renyai serta gelap.
“Bomba mengambil masa hampir dua jam malah turut dibantu polis dan KKM serta orang awam untuk membawa mangsa ke bawah.
“Mangsa yang berusia sekitar 40-an itu diserahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 6.23 pagi tadi dan tiada rekod pengenalan diri mangsa ditemui di lokasi,” katanya.

