SEBUTAN inkues melibatkan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, dilapor akan diadakan pada pukul 9 pagi esok (18 Ogos 2025).
Perkara itu dimaklumkan peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, seperti dilapor Sinar Harian Online, hari ini.
Sebutan inkues bagi kes tersebut akan diadakan di Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah.
Hamid bagaimanapun memaklumkan, tarikh yang ditetapkan esok itu hanyalah untuk sebutan kes manakala prosiding akan ditetapkan kemudian.
“Sebutan kes inkues ditetapkan esok pada pukul 9 pagi di Mahkamah Kota Kinabalu,” katanya.
Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan supaya satu prosiding inkues dilaksanakan berhubung kes kematian Zara Qairina.
Baca artikel lain: Kes Zara Qairina: PM sekali lagi tegaskan tiada siapa akan terlepas
AGC dalam kenyataan memaklumkan, prosiding inkues itu dilaksanakan susulan laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
Menurut AGC, proses tersebut akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital selepas dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat liputan meluas termasuk di media sosial, apabila ia dikaitkan dengan dakwaan perbuatan buli di sekolah berkenaan.
Pada 9 Ogos lalu, kubur remaja berkenaan digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi Ahad di tanah perkuburan sama.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

