MAKLUMAT yang diperoleh daripada Op Sohor menjadi kunci kepada kejayaan melumpuhkan sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut bernilai lebih RM250 juta menerusi Op Sikaro.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan, pihaknya tidak menunggu lama dalam mengambil tindakan segera.
“Ini adalah satu daripada natijah keputusan daripada tindakan kami dalam membuat kerja pengintipan dan siasatan membabitkan pihak tertentu yang terbabit dalam hal ini (penahanan menerusi Op Sohor) yang membocorkan (maklumat).
“Ini satu daripada hasil yang kami dapat, maka kita tak tunggu lama, terus ambil tindakan dalam tempoh seminggu, itulah kerja kami,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sesi khas bersama media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Baca artikel lain: Kerajaan buat laporan polis, MCMC berhubung video burukkan Tabung Haji – Menteri
Media sebelum ini melaporkan SPRM menggempur beberapa syarikat disyaki terbabit penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang dikesan mengakibatkan negara kerugian cukai sebanyak RM250 juta sejak lima tahun lalu.
Serbuan melalui Op Sikaro diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), semalam.
Azam berkata, kerjasama pelbagai agensi adalah penting dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan, khususnya terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa kami tidak berhasrat untuk melengahkan tindakan.
“Orang ramai mengharapkan hasil dan kami tekad untuk bertindak dengan tegas serta berkesan dan keutamaan kami kekal untuk membanteras jenayah dan memulihkan aset yang hilang akibat kegiatan haram,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azam menggesa orang ramai memahami cabaran yang dihadapi agensi penguat kuasa, namun memberi jaminan tindakan segera akan terus diambil.
“Arahan saya jelas, ambil tindakan terhadap semua pihak yang terbabit dalam isu penyeludupan.
“Kegiatan ini telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan, dan fokus kami adalah pada penguatkuasaan serta pemulihan aset,” katanya.
SPRM sebelum ini mereman 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan yang disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air menerusi Op Sohor.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

