ISU buli siber di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan apabila semakin banyak kes melibatkan remaja, selebriti dan pelajar sekolah dilaporkan saban minggu.
Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan mental mangsa, malah mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan digital rakyat Malaysia.
Menurut statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), lebih 5,000 kes buli direkodkan sepanjang 2024, dengan peningkatan ketara dalam insiden yang berlaku secara dalam talian.
Kes seperti penyebaran gambar peribadi tanpa izin, penghinaan terbuka di media sosial dan gangguan seksual digital menjadi semakin lazim.
Tragedi melibatkan seorang pelajar perempuan di Sabah yang meninggal dunia selepas mengalami tekanan akibat buli siber telah mencetuskan desakan agar kerajaan memperketatkan undang-undang berkaitan.
Kes tersebut menjadi titik tolak kepada pindaan Kanun Keseksaan yang kini merangkumi peruntukan khusus untuk jenayah buli siber.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohd Yusof Zulkefli, Istilah ‘buli siber’ tidak ditakrifkan secara spesifik dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Namun, katanya, perlakuan yang melibatkan penghantaran mesej atau kandungan yang menyakitkan hati, mengganggu, mengugut atau memalukan seseorang menerusi platform digital boleh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(b) akta tersebut.
Jelas Mohd Yusof, seksyen ini memperuntukkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan apabila seseorang menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar untuk menghantar komunikasi yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, mengugut atau mengganggu orang lain.
Oleh itu, katanya, buli siber secara fungsinya ditafsirkan sebagai sebarang perbuatan yang menyasarkan individu secara negatif melalui medium digital, selagi mana ia memenuhi elemen komunikasi yang menyakitkan hati secara sengaja.
“Menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), adalah menjadi satu kesalahan apabila seseorang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar untuk menghasilkan, meminta, menghantar atau menyebarkan sebarang bentuk komunikasi yang mengandungi kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, mengugut atau mengganggu mana-mana individu.
“Istilah ‘jelik’ dalam konteks perundangan ini merangkumi kandungan yang bertentangan dengan nilai moral masyarakat dan berpotensi mencetuskan kemarahan, penghinaan atau kesan psikologi terhadap pihak yang disasarkan,” katanya kepada UtusanTV.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, dalam aplikasi praktikal, beberapa kategori kandungan telah diiktiraf sebagai melanggar peruntukan tersebut.
Antaranya, jelas beliau ialah komunikasi yang menghina fizikal atau latar belakang peribadi seseorang, seperti ‘body shaming’, ejekan terhadap warna kulit, bentuk tubuh, status ekonomi atau identiti agama dan etnik.
Mohd Yusof berkata, ini merupakan bentuk serangan bersifat peribadi yang boleh menjatuhkan maruah serta mencetuskan tekanan psikologi mendalam, terutamanya apabila dilakukan secara terbuka atau diulang secara berterusan di media sosial.
“Kandungan sedemikian, jika disiarkan kepada umum dengan niat jahat, boleh diklasifikasikan sebagai satu bentuk buli siber yang menyalahi undang-undang.
“Selain itu, ugutan secara terang atau tersirat sama ada berbentuk fizikal, seksual, atau ancaman untuk mendedahkan maklumat sulit seseorang juga termasuk dalam kategori kandungan yang mengugut atau mengganggu di sisi undang-undang.
“Malah, ugutan yang dilakukan melalui gambar atau simbol, seperti emoji bersifat ancaman atau mesej berkod yang diketahui membawa maksud tertentu, juga boleh dipertimbangkan sebagai unsur kesalahan di bawah Seksyen 233.
“Kandungan berbentuk penyebaran imej, rakaman suara atau video peribadi seseorang tanpa izin, khususnya jika ia bersifat memalukan atau menjatuhkan air muka, juga melanggar prinsip asas privasi dan integriti individu yang dilindungi oleh undang-undang sivil dan jenayah negara,” katanya.
Mohd Yusof menambah, mangsa buli siber tidak seharusnya berdiam diri kerana undang-undang Malaysia menyediakan saluran yang sah dan berkesan untuk melindungi mangsa serta mengambil tindakan terhadap pelaku.
Beliau berkata, langkah pertama yang paling penting ialah untuk bertindak secara bijak dan teratur.
Jelas Mohd Yusof, sekiranya seseorang mengalami gangguan atau buli dalam talian, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengumpul dan menyimpan bukti yang kukuh.
“Ini termasuk tangkapan layar (screenshot) mesej atau komen yang mengandungi unsur penghinaan, ugutan, atau penyebaran fitnah, URL atau pautan kepada kandungan tersebut, serta sebarang bentuk komunikasi yang membuktikan niat pelaku untuk mengganggu atau menjatuhkan mangsa.
“Bukti ini sangat penting kerana ia akan menjadi asas kepada siasatan dan tindakan undang-undang yang bakal diambil,” katanya.
Untuk rekod, Kempen Internet Selamat itu yang telah dilaksanakan sejak Januari lalu memberi tumpuan kepada beberapa isu keselamatan dalam internet termasuk CSAM.
KIS yang telah dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 21 Januari lalu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan internet melalui advokasi dan penglibatan komuniti.
Kempen berkenaan menyasarkan sebanyak 10,000 buah sekolah dan institusi awam di seluruh negara.
Turut diberi tumpuan dalam kempen ini adalah penipuan dalam talian, perjudian dalam talian, buli siber dan penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun.
Berdasarkan statistik MCMC, sebanyak 19,440 kandungan dalam talian daripada 24,283 permohonan melibatkan buli siber telah diturunkan sejak awal tahun sehingga 26 Jun lalu.
Jumlah tersebut meningkat berbanding 8,756 kandungan yang diturunkan daripada 11,385 permohonan sepanjang tahun lalu.
Justeru, keberadaan KIS amat penting terutama bagi melindungi anak-anak dan keluarga daripada terdedah daripada ancaman di alam maya.
Langkah ini sejajar dengan agenda KIS 2025, yang bukan sekadar memberi kesedaran, tetapi juga memacu tindakan bersepadu dalam menjamin ruang digital yang lebih bersih dan selamat untuk semua, terutama kanak-kanak dan remaja.
MCMC menyeru kerjasama berterusan daripada semua lapisan masyarakat bagi memastikan internet terus menjadi ruang yang positif, selamat dan membina.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

